Perlis sedia bentuk kerajaan campuran BN-PAS

Azlan Man berkata pembentukan kerajaan campuran Buat masa ini perlukan satu dasar kerana kerjasama dengan PAS setakat ini berbentuk ta’awun (persefahaman). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis Azlan Man sudi membentuk kerajaan campuran Barisan Nasional-PAS, susulan kerjasama rasmi yang dimeterai Umno dan parti Islam itu semalam.

Memetik laporan laman Utusan Malaysia, Azlan berkata pihaknya tiada masalah untuk mengundang PAS menganggotai pentadbirannya tetapi kepimpinan kedua-dua parti perlu mengemukakan suatu dasar bagi merealisasikan perkara itu.

“Buat masa ini kerjasama dengan PAS berbentuk ta’awun (persefahaman), jadi kita perlukan satu keputusan di peringkat tertinggi parti,” katanya.

Sementara itu, seorang exco negeri berkata dia sedia memberi laluan kepada Adun PAS.

“Kita ikut keputusan menteri besar…apa yang lebih penting adalah kerjasama Umno dan PAS ini,” kata Exco Pertanian dan Asas Tani, Nurulhisham Yaakob.

Hadi pada sidang media selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara semalam mengumumkan PAS mempunyai rancangan untuk mengundang Umno menyertai kerajaannya di Kelantan dan Terengganu.

Beliau bagaimanapun berkata rancangan seperti itu memerlukan masa untuk dilaksanakan dan PAS akan melihat perkembangan semasa.

“Memang ada rancangan untuk bawa Umno sertai kerajaan Kelantan dan Terengganu. Itu dalam keluarga kami,” katanya.

Mengikut kedudukan sekarang, BN menguasai 9 kerusi Dewan Undangan Negeri, PAS 2 kerusi dan PH 4 kerusi.