Rahmatan Alamin versi Mujahid satu hipokrasi

Setelah menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama mendiamkan diri dan mengelak daripada isu yang sedang panas diperkatakan mengenai penangkapan pengikut Syiah di Selangor dan Johor baru-baru ini, pada September Mujahid Yusof Rawa, akhirnya memecah kebisuan memberi kenyataan. Kenyataan beliau amat dinanti-nantikan tapi malangnya kenyataan beliau sangat mengecewakan dan mengelirukan.

Mujahid dalam kenyataannya mempertahankan serbuan penguat kuasa negeri ke atas pengikut syiah dan dalam masa yang sama menyatakan Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan agama.

Beliau mempertahankan tindakan penguat kuasa negeri dengan menyatakan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan fatwa anti-Syiah dan mengikut SOP.

Ironinya, dalam kenyataan beliau ini sangat bercanggah antara Perlembagaan Persekutuan dan bidang kuasa penguat kuasa negeri menggambarkan beliau seolah-olah tidak faham akan perlembagaan dan undang-undang.

Di sini saya ingin mengingatkan kepada Mujahid yang berkemungkinan terlalu ‘sibuk’ dengan tugasan beliau sehinggakan tidak sempat merujuk dasar-dasar yang telah dibuat oleh Jakim.

Di dalam era moden ini hanya perlu sedikit usaha untuk melayar internet dan ada rekod-rekod yang kita boleh rujuk.

Saya merujuk kepada Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Mei 1996, yang menetapkan Syiah sebagai ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam. Fatwa ini dibuat di peringkat persekutuan melalui Jakim dan diwartakan di peringkat negeri.

Dengan ini, adakah menteri agama keliru atau sengaja berbohong dengan menyatakan fatwa anti-Syiah adalah urusan negeri?

Saya merujuk laporan Berita Harian bertarikh 19 November 2018 bertajuk “Negeri Sembilan berpegang fatwa 1996”, juga laporan Astro Awani bertarikh 22 November 2018 bertajuk “Syiah kekal ajaran menyeleweng – Mufti Pahang”.

Di dalam kedua-dua laporan ini, mufti Negeri Sembilan dan Pahang mempertahankan fatwa anti-Syiah dengan merujuk kepada fatwa muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan pada 1996.

Jelas, fatwa anti-Syiah ini dikuatkuasakan di peringkat negeri setelah ia diwartakan di peringkat persekutuan. Fatwa anti-Syiah ini di dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Malang bagi Mujahid dan kita rakyat Malaysia, beliau keliru dengan skop tugas dan bidang kuasa kementeriannya sendiri.

Saya merujuk lagi laporan pada 24 September 2018, di mana laporan itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan untuk tidak mengiktiraf fahaman Syiah sebagai satu daripada sektor ajaran Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, menurut fatwa yang telah diwartakan, Syiah adalah satu fahaman yang tidak diiktiraf dalam agama Islam.

Kenyataan itu dibuat dengan merujuk kempen ‘Who is Hussein’ oleh satu badan NGO tahun lepas di ibu negara dan dibuat setelah mendapat tekanan daripada ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi.

Sangat dikesali apabila Mujahid dengan terang-terangan mengelirukan orang awam dan tunduk kepada tekanan pihak pembangkang yang tiada asas sama sekali.

Nampaknya Mujahid dan Asyraf Wajdi adalah burung yang terbang sekawan, 2 sisi syiling yang sama.

Jelas di sini Mujahid juga berpendirian takfiri melabelkan mazhab lain sebagai sesat walaupun sudah ada ijma ulama mengenainya.

Amat malang sekali mufti di sini membelakangi ijma dan pada masa yang sama menggunakan Ahlul Sunnah Wa Jamaah sebagai “lapik” untuk justifikasi setiap fatwa mereka walaupun fatwa tersebut terkeluar daripada ijma Ahlul Sunnah. Untuk rekod, Ahlul Sunnah Wa Jammah terdiri daripada dua mazhab akidah, Ash-shairah dan Al-Mathuridiah dan 4 mazhab fiqh iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Sudah tentu setiap fatwa Ahlul Sunnah memerlukan ijma dan nampaknya Malaysia sangat unik, boleh membelakangi ijma di dalam penetapan fatwa tetapi menggunakan nama Ahlul Sunnah.

Saya ingin mengambil perhatian kepada kempen “Who is Hussein” yang telah membuat Mujahid mengeluarkan kenyataan ini.

Saya merujuk dan memetik laporan berita Free Malaysia Today bertarikh Mei 16 2019, “ahli sebuah kumpulan yang mengagihkan risalah mengenai Imam Hussein di Kuala Lumpur menafikan dakwaan mereka menyebarkan fahaman Syiah, sehari selepas polis memberi amaran terhadap tindakan mereka.

“Kumpulan “Who Is Hussein?” turut memberitahu FMT, mereka menerima ugutan bunuh. Tetapi, ketua kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Natasha berkata, ia bukannya organisasi agama.

“Organisasi kami ialah badan amal yang mahu membawa perubahan positif, kami tiada kaitan dengan agama. Fokus kami terhadap alam sekitar, kemiskinan, gelandangan, kebersihan dan bekalan air,” katanya kepada FMT.

Katanya, ahli kumpulan itu mengedarkan ‘beg goodies’ Ramadan kepada orang ramai, termasuk kurma, minuman, tasbih dan risalah organisasi itu. Natasha yang mendakwa dirinya Sunni berkata, satu kumpulan Facebook kemudiannya mendakwa mereka menyebarkan fahaman Syiah.”

Malangnya, pelopor konsep Rahmatan Lillalamin juga terkesan dengan Syiah fobia hinggakan kempen amal memberi donut dianggap sebagai satu kesalahan besar yang boleh menggugat akidah umat Islam. Untuk rekod, Saidina Hussein adalah cucu kepada baginda Nabi Muhammad yang gugur syahid, dibunuh secara kejam oleh Yazid.

Saidina Hussein bukan sahaja tokoh kepada orang Syiah tetapi juga kepada orang Sunni, hatta selawat ke atas Nabi dan ahli keluarga baginda adalah syarat sah solat. Saidina Hussein adalah tokoh kepada orang Islam keseluruhannya dan wajib ke atas semua umat Islam untuk berselawat kepadanya.

Sangat memalukan apabila pihak berkuasa atas tekanan kelompok tertentu melarang aktiviti amal di atas nama cucu Rasulullah dan mengaitkannya dengan ajaran sesat yang boleh menggugat akidah umat Islam.

Soalan saya kepada Mujahid, jika memberi donut atas nama Hussein dianggap sesat, adakah selepas ini nama Hussein juga dilarang penggunaannya oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Adakah mereka yang berketurunan Syed yang bernasabkan Al-Hussein akan dianggap sesat. Adakah selepas ini selawat di dalam bacaan solat tasyahud akhir akan dikecualikan, menjadi syarat batal solat?

Amat malang sekali, kerana syiah fobia ini, tokoh Islam seperti Saidina Hussein menjadi pantang larang kepada umat Islam di sini.

Amat menghairankan, di Malaysia agama lain diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka, mendirikan kuil-kuil dan gereja-gereja, beri cuti umum dan berarak untuk perayaan mereka, tetapi umat Islam dilarang untuk meraikan cucu Rasulullah sendiri.

Kepada Mujahid, saya ingin mengajukan satu petikan al-Quran Surah Ashsura ayat 23 “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu) dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambah kebaikan baginya kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya.”.

Dan hadis Nabi “Didiklah anak-anak kalian untuk tiga hal; mencintai Nabi kalian, mencintai Ahlul Baitnya dan membaca al-Quran, kerana para penghafal al-Quran itu berada di bawah naungan Allah pada hari tiada naungan lain selain naungan-Nya, bersama para nabi dan orang-orang pilihan-Nya.”

Syed Ahmad Faiz Al Jamalulail adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.