‘Roh’ Piagam Muafakat Umno-PAS kejutkan penganalisis

Pelukan Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang pada majlis Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sept 2019 menggambarkan langkah ke arah jalinan kerjasama politik kedua-dua parti.

PETALING JAYA: Di sebalik tumpuan satu negara dan retorik Himpunan Penyatuan Ummah, Piagam Muafakat Nasional dimeterai Umno dan PAS semalam mengejutkan penganalisis politik yang menggambarkan ia bersifat “sederhana” daripada dijangkakan sebelum ini.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata piagam itu nampaknya berdasarkan “roh” Perlembagaan Persekutuan dan matlamat piagam itu dapat menepis tanggapan kerjasama dua parti Melayu-Islam terbesar itu menjurus kepada pendekatan ekstrem.

“Piagam itu tidak terlalu khusus tentang Islam. Dakwaan mengatakan kerjasama itu bahaya kepada masyarakat tetapi pendekatannya ‘central right’. Dia tak ke kiri sangat dan tak ke kanan sangat,” katanya kepada FMT.

Piagam lima teras itu ditandatangani oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Awang Azman merujuk kepada spektrum politik, di mana kiri sering dikaitkan dengan sosialisme dan progresivisme manakala kanan pula dikaitkan dengan kapitalisme dan konservatisme. Pertengahan amnya mencari keseimbangan antara dua kutub itu.

“Dia ambil pendekatan yang sederhana dan ini sebenarnya mengejutkan sebab selama ini ramai berpendapat kerjasama Umno-PAS akan menjejaskan (hubungan) kaum,” katanya.

Beliau menambah Umno dan PAS tahu isu sekarang ini adalah isu berkaitan Melayu, serta ketidakpuasan hati orang ramai terhadap Pakatan Harapan dalam beberapa isu lain seperti pendidikan dan penjawat awam.

Kerjasama kali ini, katanya, jelas untuk berdepan Pakatan Harapan dan bukannya orang bukan Melayu.

“Mereka cuba beri satu pilihan kepada rakyat,” katanya, dan menambah dalam kalangan parti PH juga terdapat ramai ahli berketurunan Melayu.

Awang Azman berpandangan Piagam Muafakat Nasional itu satu bentuk penjenamaan semula pembangkang dan ketidakpuasan hati rakyat akan menjadi naratifnya.

Bagaimanapun, Umno dan PAS perlu mereformasikan parti masing-masing jika mahu ke arah itu.

“Misalnya Umno perlu kepimpinan muda dibawa ke barisan depan dan begitu juga PAS. Budaya cantas-mencantas terutama Umno perlu diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia percaya penyatuan Umno dan PAS bakal memberi tekanan kepada PH menjelang pilihan raya umum ke-15, terutama PPBM dan Amanah yang ditugaskan untuk meraih sokongan orang Melayu.

Pola undian pada pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April) menunjukkan peningkatan sokongan kepada pembangkang pasca PRU-14, sementara tinjauan rambang terhadap sambutan aktiviti juga mempamerkan peningkatan.

Sebaliknya, PH masih gagal meraih sokongan orang Melayu walaupun selepas hampir 2 tahun memerintah.

“Situasi ini menjurus kepada keyakinan dan persepsi sebegini penting untuk mempengaruhi pengundi yang tidak terikat dengan Umno dan PAS,” katanya.

Azmi juga mengulas mengenai dakwaan Hadi bahawa bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menyetujui penyatuan Umno dan PAS ketika masih hidup.

Beliau berkata ia tidak logik berdasarkan senario politik sebelum ini, tetapi senario sekarang jauh berbeza yang mana Islam dilihat bagai “terancam”.

“Mengambil kira senario terkini, itu yang dimaksudkan oleh Hadi,” katanya.