Separuh output minyak Saudi terjejas selepas serangan Houthi

Tangki minyak Aramco di kemudahan pengeluaran Saudi Aramco di lapangan minyak Rub’ Al Khali, Arab Saudi pada 22 Mei 2018. (Gambar Reuters)

RIYADH/DUBAI/LONDON: Kumpulan Yemen yang bersepakat dengan Iran, Houthi mengumumkan ia menyerang 2 kilang di tengah-tengah industri minyak Arab Saudi pada Sabtu, menyebabkan lebih separuh output Saudi terhenti, langkah yang dijangka meningkatkan harga minyak dan ketegangan di Timur Tengah.

Serangan itu akan mengurangkan output Saudi sebanyak 5.7 juta tong sehari (bpd) atau lebih 5% daripada bekalan minyak sejagat, menurut kenyataan syarikat minyak kerajaan, Saudi Aramco.

Serangan sebelum fajar itu menyusuli serangan rentas sempadan ke atas pangkalan-pangkalan minyak dan kapal-kapal minyak di perairan Teluk, tetapi serangan kali ini paling berani, melumpuhkan sebahagian kapasiti pengeluaran Saudi buat sementara.

Arab Saudi merupakan pengeksport terbesar dunia, menghantar lebih 7 bilion tong minyak sehari ke pelbagai destinasi serata dunia, dan sejak bertahun menjadi pembekal jalan terakhir dalam pasaran.

Walaupun Houthi mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyalahkan Iran sepenuhnya, mengatakan “tidak ada bukti serangan-serangan itu daripada Yaman” di Twitter.

“Disebalik seruan menyeru keadaan diredakan, Iran melancarkan serangan terhadap bekalan minyak dunia yang tidak pernah berlaku dahulu,” kata Pompeo.

Pemerintah Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman memberitahu Presiden AS Donald Trump melalui telefon bahawa Riyadh sanggup dan mampu “berdepan dan menangani serangan pengganas ini,” kata agensi berita Saudi, SPA.

Amerika Syarikat mengecam serangan itu dan Trump memberitahu putra mahkota bahawa Washington sedia bekerjasama dengan Saudi untuk menjamin keselamatannya, kata Rumah Putih.

Jabatan Tenaga AS juga berkata ia sedia mengeluarkan minyak daripada bekalan petroleum strategiknya jika perlu. Setiausaha Tenaga Rick Perry berkata jabatannya akan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Antarabangsa, yang menyelaraskan dasar-dasar tenaga negara-negara industri, jika tindakan sejagat diperlukan.

Arab Saudi, yang mengepalai pakatan yang mencampuri perang terhadap Houthi di Yaman pada 2015, menyalahkan Iran dalam serangan-serangan sebelum ini, yang dinafikan Tehran. Riyadh menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi, dakwaan yang dinafikan kumpulan itu dan Tehran.

Jurucakap pakatan itu, Kol Turki Al-Maliki berkata siasatan akan dijalankan bagi mencari dalang yang merancang dan melancarkan serangan itu. Beliau berkata pakatan yang disokong Barat itu akan membalas ancaman kepada keselamatan tenaga sejagat dan kestabilan ekonomi.

Ketua Eksekutif Aramco, Amin Nasser berkata tiada kehilangan nyawa dalam serangan itu.

Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz Salman berkata Aramco akan mendapat lebih banyak maklumat dalam tempoh 48 jam, dan ia akan mengeluarkan minyak daripada simpanan untuk menampung kerugian. Aramco dalam proses merancang apa yang dijangka tawaran awam permulaan terbesar dunia.