Tahukah anda Tugu Negara pernah diletupkan?

Setiap tahun apabila tiba bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia sudah pasti pelbagai kisah-kisah perjuangan anggota beruniform dan rakyat terdahulu yang kita akan dengar sama ada melalui drama atau filem serta media yang akan menyingkap kembali sejarah tiada nilainya suatu ketika dulu.

Dan untuk mencapai keamanan seperti yang dinikmati sekarang bukanlah satu jalan mudah.

Pelbagai kesusahan dan beratus nyawa telah terkorban bagi mempertahankan negara Malaysia tercinta ini.


Jadi bagi memperingati perjuangan mereka, sebuah tugu yang dipanggil sebagai Tugu Peringatan Negara ataupun Tugu Negara telah dibina dan disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai satu penghormatan kepada lebih 11 ribu parajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan semasa Darurat.

Tugu Negara yang berdiri megah di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen mempunyai ketinggian 15 meter diperbuat daripada gangsa dan direka oleh Felix de Weldon, seorang pengukir daripada Austria.

Kalau anda hendak tahu, Tugu Negara di Malaysia merupakan arca berkumpulan yang tertinggi di dunia!

Satu lagi info menarik Tugu Negara kita yang pertama sebenarnya merupakan sebuah tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Masjid Negara.

Kalau anda pergi ke sana sekarang, anda masih boleh nampak tapak dia yang seluas 10m persegi.

Kemudiannya, Tugu Negara telah dipindahkan ke kawasan Taman Tasik Perdana seperti mana yang anda boleh lihat sekarang.

 

Satu lagi info yang mungkin anda tidak tahu adalah Tugu Negara kita pernah diletupkan oleh pihak Komunis pada 26 Ogos 1975.

Seperti yang semua orang tahu, pihak Komunis sangat bencikan kerajaan.

Jadi untuk melumpuh dan memporak-perandakan keamanan yang ada pada masa itu, pihak Komunis telah bertindak mengebom Tugu Negara yang mana berlaku pada jam 5 pagi.

 

Kejadian tersebut memusnahkan Tugu Negara dan dua kepala daripada tugu tersebut jatuh daripada kedudukan asal.

Pihak berkuasa pada masa itu telah mengesyaki kejadian itu dilakukan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Komunis pada masa itu sememangnya sedang bermaharajalela selepas mereka berjaya membunuh Ketua Polis Negara pada masa itu iaitu Abdul Rahman Hashim.

Semasa kejadian itu berlaku, Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman turut merasai gegaran daripada letupan tersebut memandangkan dia tinggal berhampiran dengan kawasan kejadian.

Unit Pemusnah Bom telah menemui dua butir bom yang masih belum meletup di tempat kejadian dan terdapat kesan darah yang dipercayai milik pengganas yang tercedera namun berjaya melarikan diri.

Namun kejadian ini telah dinafikan oleh pihak Komunis.

Komunis menuduh kejadian ini adalah angkara kerajaan sendiri yang dilihat sengaja merosakan Tugu Negara kononnya wajah pada Tugu Negara tersebut menyerupai orang barat.

 

Jadi dakwa komunis ia sebagai alasan kepada kerajaan untuk mengubah bentuk Tugu Negara.

Tugu Negara ini dibina dengan kos sebanyak RM2.5 juta dan RM1.245 juta daripada kos tersebut merupakan hasil kutipan derma daripada rakyat Malaysia sendiri dan bakinya adalah daripada peruntukan kerajaan.

Tugu Negara ini kemudiannya dibaiki semula selepas kerja baik pulih dilakukan oleh Christoper Carney yang mana pada masa itu merupakan seorang pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Satu lagi info menariknya yang anda mungkin tidak tahu, Tugu yang berada bahagian tengah yang sedang memegang bendera Malaysia telah direka berdasarkan wajah sebenar Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih muda!

Sumber: thelaki.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]