Zuraida digesa biar pemaju tangani sendiri lambakan rumah mewah

Projek Forest City merupakan rancangan pembangunan hartanah besar di negeri Johor, yang merekodkan 6,000 unit hartanah tidak terjual setakat Mac tahun ini. (Reuters pic)

PETALING JAYA: Pemaju swasta, bukannya kerajaan, seharusnya mencari penyelesaian kepada masalah lambakan hartanah mewah, kata Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan.

“Isu itu sepatutnya ditangani oleh pemaju swasta kerana ia merupakan projek persendirian,” kata setiausaha agung persatuan Chang Kim Loong kepada FMT sebagai respons terhadap rancangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk memasarkan rumah mewah tidak terjual kepada orang asing.

Chang berkata, pengendorsan kerajaan akan memberi kesan ke atas kredibilitinya dan merosakkan hubungan dengan negara lain sekiranya projek terbabit berdepan masalah.

Zuraida dikritik keras berhubung rancangannya melibatkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

Chang berkata, Australia dan New Zealand juga pernah mencuba pendekatan itu sebelum ini dan “mereka menarik balik dasar terbuka itu apabila harga rumah meningkat mendadak susulan pembelian spekulatif dari China dan Hong Kong”.

Beliau menggesa kerajaan pusat supaya memberi tumpuan kepada segmen rumah mampu milik, bukannya mempromosi rumah mewah ke pasaran luar.

Pakar ekonomi, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi juga menasihati kerajaan supaya tidak campur tangan secara langsung dengan berkata, pemaju seharusnya memberi tumpuan kepada pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

Beliau tidak yakin kempen itu akan memberi kesan ke atas pembeli tempatan seperti dijangka sesetengah pihak.

“Ia tidak akan memberi kesan ke atas segmen rumah harga sederhana dan rendah sekiranya HOC dihadkan kepada hartanah mewah.

“Ia juga tidak akan menyebabkan rumah mewah jatuh harga hingga mampu dibeli golongan kelas menengah.”

Katanya kerajaan harus menyediakan insentif bagi menggalakkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah mampu milik.

Juruukur bertauliah veteran Ernest Cheong bagaimanapun berkata, warga asing yang membeli rumah tidak semestinya akan tinggal di sini, dan ini boleh menyebabkan kawasan perumahan mewah terbabit menjadi “bandar hantu” sama seperti yang berlaku di China.

“Ekonomi China kini mengalami kelembapan. Ramai pembeli China mungkin tidak berminat. Kalaupun sesetengah mereka mampu melabur, tetapi mereka tidak akan tinggal di sini. Lambat laun “bandar hantu” yang terhasil akan menggalakkan berlakunya jenayah dan penyakit sosial lain.”

“Pembeli asing yang kaya, terutama dari China dan Taiwan, tidak tinggal di hartanah mewah ini.”

Katanya, Johor mempunyai jumlah hartanah tidak terjual paling tinggi dan kebanyakannya adalah unit harga mewah.

Pada Julai lepas, exco negeri Johor Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat 6,000 unit tidak terjual di negeri itu sehingga akhir suku pertama 2019.

Baru-baru ini Zuraida berkata, kementeriannya merancang untuk memasarkan rumah mewah bernilai lebih RM100 bilion kepada pembeli di Hong Kong dan China.