Hidangan lazat seperti ‘masakan di rumah’ boleh didapati di Bangsar

For Goodness Cakes.

Memasuki kawasan mewah seperti di Bangsar sudah pasti terdetik di hati mana mungkin dapat menikmati hidangan enak tanpa berbelanja besar.

Namun jangan terkejut di blok pertama tingkat satu, menghadap jalan utama anda akan jumpa sebuah kafe yang menyediakan beberapa hidangan saling tidak tumpah seperti hidangan yang disajikan “ibu di rumah”.

Kafe yang dikendalikan, Sheila Philip dengan rakan-rakannya adalah satu nafas baru yang terdapat di Bangsar dengan keperibadiannya yang sentiasa ceria dan sentiasa menghiburkan pelanggannya membuatkan beliau sentiasa menitik beratkan setiap hidangan yang diletakkan di dalam pinggan.

Inilah yang dinamakan kepuasan pelanggan adalah keutamaannya!

(Dari kiri) Anjali, Rajitha dan Sheila.

Bercakap kepada FMT, Sheila berkata, “Kami sangat, sangat cerewet tentang apa yang kami hidangkan di sini. Dengan mengambil alih perniagaan sebelum ini namun kami tetap menitik beratkan setiap hidangan yang dimasak atau dibakar.

“Ia tidak kelihatan cantik, tiada dekorasi yang menarik tetapi apa yang saya jamin setiap suap yang masuk ke mulut anda pasti tiada sesal. Inilah yang dinamakan nikmati hidangan disini seperti makan ‘di rumah’.”

Katanya For Goodness Cakes sebenarnya kisah enam wanita, tanpa pengalaman perniagaan tetapi sangat meminati masakan dan membakar, berkumpul dan memutuskan untuk membuka restoran yang dapat menghidangkan makanan yang sudah pasti menjadi kegemaran semua pengunjung -sihat, lengkap dan lazat.

Pada awalnya mereka beroperasi di Desa Sri Hartamas selama lima tahun dan selepas mendapat peluang untuk membuka kafe di Bangsar mereka tanpa ragu terus menyambar peluang emas ini.

“Sudah tentu tidak ada penyesalan,” kata Sheila mengenai langkah untuk berpindah, sambil menambah tidak dinafikan perasaan ketika itu bercampur baur – “menarik, meletihkan, mencabar”.

Beroperasi sejak pertengahan Mei tahun ini, antara hidangan paling diminati merupakan Nasi Lemak Ayam Rendang. Sebaik anda menjamahnya anda akan tahu kenapa ia menjadi hidangan paling laris – dengan sambal ikan bilis serta rendang dengan nasi yang penuh berlemak sudah pasti membuatkan anda berpuas hati dengan kelazatannya.

Laksa Johor pula menjadi hidangan kedua yang semakin diminati di kafe tersebut. Dengan kuahnya yang pekat dan dipenuhi dengan isi ikan dicampur pula dengan ramuan sayur-sayurannya menjadikan Laksa Johor semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan pengunjungnya.

Hidangan kegemaran nasi lemak ayam rendang dan laksa Johor.

Satu lagi hidangan yang mampu membuatkan anda suka yang kini menjadi kegemaran orang Asia ialah pasta.

Pengubahan resepi yang menjadi hidangan utama di Itali sudah pasti memberikan risiko namun For Goodness Cakes berjaya melakukannya – lengkap dengan pedas, udang dan bawang putih membuatkan hidangan tersebut sangat menyelerakan mengikut tekak dan citarasa orang Malaysia.

Tetapi jika anda seorang yang perlu menikmati hidangan tradisi “India” untuk makanan tengahari, anda pasti akan menyukai kari kambing dengan nasi putih, raita dan papadom.

Kelembutan isi kambing dengan rempah dan kepedasannya sudah pasti ia melonjak nafsu makan anda serta merta dan tanpa berlengah anda mahu terus menikmatinya.

Pasta goreng dan kari kambing sudah pasti memberi kelainan dalam hidangan anda.

Namun apa yang menariknya mengenai For Goodness Cakes ialah meskipun terletak di lokasi golongan elit namun anda masih mampu menikmati hidangan tersebut dengan bajet bawah RM20.

Menurut Sheila, “Jika saya mahu menjadikan kafe ini sebagai tempat tumpuan semua orang tidak kira apa jua umur atau pendapatan, jadi saya mesti menawarkan hidangan sesuatu yang mereka mampu.”

Beliau berkata adalah penting bagi pekerja di sekitar kawasan Bangsar ketika melihat menu dan berkata, “Saya mampu untuk makan ini … dan itu … dan itu.”

Pemandangan dari dalam kafe For Goodness Cakes.

“Jika anda datang ketika waktu makan tengah hari, anda akan mendapat secawan Nescafe Gold atau Cameronian Tea secara percuma. Ini bukanlah pemberian terbesar tapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan beban mereka kerana tidak semua mampu untuk berbelanja secara komersial.”

Dan hidangan ini lebih lengkap jika dinikmati bersama dengan sekeping kek.

Antara kek yang menjadi kegemaran di For Goodness Cakes.

Sheila menyediakan kek Butter, kek Sugee, Kek Halia dan brownie coklat tanpa gluten.

Walaupun Kue Sugee menjadi kegemaran pengunjung namun kek butter tetap menyerlah dengan kelembutannya, manakala Kek Halia lebih berat tetapi lembab dan “flavourful”. Bagi kek brownie bebas gluten mampu hilang sekelip mata dek kerana keenakannya.

Bercakap mengenai kek yang disajikan di kafe itu, Sheila berkata, “Setiap resipi di sini telah diubah suai mengikut kesesuaian dan satu-satunya resipi yang tidak diubah adalah resipi kek mentega.”

Sheila juga menekankan hiasan pada kek bukanlah keutamaannya seperti di kebanyakan kedai roti mewah. “Saya tidak mementingkan kecantikan pada kek, tetapi lebih kepada rasanya yang enak.”

For Goodness Cakes.

Semua resipi di kafe For Goodness Cakes tidak menggunakan gula secara berlebihan, tiada pengawet, kurang garam, tiada MSG dan tiada penambah rasa.

“Kami mahu pelanggan yang menikmati hidangan disini benar-benar menghayati makanan yang disajikan dan bukannya rasa gula yang terdapat dalam kek sebaliknya anda sedang mencuba kek melalui mentega, telur, vanila.”

Dan apa yang ditampilkan hasil ubahan pada setiap resepi ternyata “menjadi” apabila setiap kek yang dibuat setiap hari pasti habis dijual.

Sinar yang terpancar di mata Sheila membuatkannya tampil memperkenalkan hashtag baru. “Tidak ada orang lain memilikinya #goodnessivebeencaked”

Bermula dengan belajar membuat kek di Akademi Seni Pastry di Malaysia, Sheila mula menjinakkan diri dengan membuat “scones” malah kini telah membuka kelas mengajar bagi mereka yang ingin belajar membuat scones.

RM75 bayaran yang dikenakan bagi setiap kelas dan ia merangkumi semua bahan yang diperlukan. Setiap pelajar juga diberi makan di kafe tersebut dan membawa pulang scones yang mereka bakar.

“Saya suka ketepatan apabila membuat kek, ia sesuai dengan rasa yang teratur dan saya suka cara saya mengukur dengan jelas dan bersih.”

Jadi setiap kali anda berada di Bangsar, pastikan anda singgah di kafe For Goodness Cakes untuk merasai sendiri keenakan makanan yang disajikan dengan cara dan kelasnya yang tersendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]