Jerebu: 138 sekolah di Selangor ditutup esok

PETALING JAYA: Sebanyak 138 buah sekolah di beberapa bahagian di Selangor akan ditutup dan ditangguh tempoh waktu persekolahan esok selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan ‘sangat tidak sihat’ sehingga malam ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik dalam hantaran di Facebook, sebentar tadi.

“Terkini, 138 buah sekolah di bawah PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana akan ditutup esok (17 September) ekoran bacaan IPU yang sangat tinggi.”

Penutupan sekolah itu melibatkan 23 buah sekolah di Sepang, 35 (Hulu Langat), 18 (Kuala Langat), 24 (Klang) dan 38 (Petaling Perdana).

Dalam pada itu Bernama memetik kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melaporkan, seramai 179,843 pelajar terlibat dalam penutupan sekolah dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 8 malam tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 229, Klang (182) dan Banting (161) dan Shah Alam (194).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Selain Selangor, semua sekolah di Putrajaya juga diarah ditutup dan ditangguh tempoh waktu persekolahannya esok selepas bacaan IPU melonjak melebihi angka 200 iaitu kualiti udara sangat tidak sihat.