Kerajaan Selangor akan rampas tanah terbabit pembakaran terbuka

Notis amaran melarang pembakaran terbuka yang dipasang oleh pihak berkuasa negeri Selangor. (Gambar Bernama)

KLANG: Kerajaan Selangor akan bertindak merampas tanah para petani yang masih degil melakukan pembakaran terbuka di negeri ini yang dilihat semakin berleluasa dari tahun ke tahun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, tindakan tegas itu perlu dilakukan kerana para petani, terutamanya di kawasan Johan Setia di sini, masih melakukan perbuatan berkenaan walaupun kerajaan negeri mengeluarkan arahan larangan.

“Pembakaran terbuka untuk aktiviti pertanian ini sedikit sebanyak telah memburukkan lagi situasi jerebu yang melanda negara sekarang.

“Bagaimanapun kita akan pastikan tindakan (merampas tanah) ini akan mengikut prosedur dan proses ditetapkan kerana bukan mudah untuk mengambil tanah kerana ada tanah disewa dan ada juga tanah diceroboh untuk menanam sayur-sayuran,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Pertandingan Debat dan Pidato XI Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat terhadap petani yang ingkar dengan arahan dikeluarkan kerana perbuatan itu dilakukan pada waktu malam dan awal pagi.

“Apabila kita pergi, tuan tanah tidak ada, tak tahu di mana dan bila sampai di lokasi kita mengambil langkah memadamkan api dahulu sebelum mencari pihak yang membakar,” katanya.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara di Johan Setia adalah 204, Klang (150) dan Banting (155).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).