Kit Siang cadang Sambutan Perpaduan Malaysia antara Hari Merdeka, Hari Malaysia

Veteran DAP Lim Kit Siang mengesyorkan Sambutan Perpaduan Malaysia diadakan setiap tahun.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan Sambutan Perpaduan Malaysia selama 15 hari bermula dari ulang tahun Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos hingga Hari Malaysia 16 September setiap tahun.

Mengulas mengenai majlis menandatangani piagam perpaduan antara Umno dan PAS, Lim berkata malangnya ia tidak meraikan “semangat rakyat Malaysia yang serba meliputi, inklusif dan terbuka”.

“Mungkin tahun depan, kita boleh melancarkan piagam untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, untuk mempromosikan Perikatan Tamadun dan bukannya untuk bangsa, agama atau budaya tertentu sahaja,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri ini pada perhimpunan Festival Mid-Autumn di Taman Teratai, Iskandar Puteri, malam tadi.

Negara menyambut ulang tahun Hari Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 hari ini. Sambutan berlangsung di Kuching, Sarawak. Sambutan Hari Kebangsaan 2019 berlangsung di Putrajaya 31 Ogos lalu.

Menurut Lim, Umno dan PAS dikatakan mahu mewujudkan “Zaman Kegemilangan Islam” menerusi Piagam Muafakat Nasional untuk merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya fikir pemikiran sedemikian adalah hasil daripada pembacaan yang salah mengenai sejarah.

“Memang ada zaman kegemilangan dalam setiap tamadun besar di dunia, tetapi saya tidak sedar ada zaman kegemilangan yang diasaskan berdasarkan kleptokrasi atau ketamakan.”

Beliau berkata Zaman Kegemilangan Islam adalah zaman berkembangnya budaya, ekonomi dan sainstifik dalam sejarah Islam iaitu dari abad ke-8 hingga abad ke-14.

“Saya bersedia untuk dibetulkan. Setakat yang saya tahu, belum ada satu pun zaman kegemilangan dalam sejarah manusia yang diasaskan menerusi minda yang sempit, kleptokrasi dan kemerosotan moral,” katanya.

Lim mengulangi seruannya kepada rakyat untuk “membangunkan keyakinan diri yang baru untuk mencapai bintang dan semangat baru Malaysia Boleh” bagi negara untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang untuk mencapai “zaman kegemilangan untuk Malaysia”.

Beliau juga berkata Festival Mid-Autumn atau Festival Kuih Bulan tahun ini istimewa kerana buat kali pertamanya Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan ucapan kepada komuniti Cina.