Kolonel bersara korban sebelah kaki, sedih negara tidak bersatu

Zulkifli Tahir bercerita tentang hari dia kehilangan sebelah kaki dalam Ops Taksin 8601, operasi bersama Malaysia-Thailand terhadap pangkalan komunis.

PETALING JAYA: Leftenan Zulkifli Tahir rasa tak sedap hati apabila dia mendapati salah seorang anggota kumpulannya terlupa membawa sekali bateri untuk alat pengesan periuk api skuad mereka.

“Saya menyumpah dalam hati, tapi kami perlu buat kerja kami: matikan periuk api supaya askar kita boleh mara ke kedudukan musuh berdekatan sempadan Thailand,” katanya kepada FMT.

“Saya bawa 3 askar untuk buka laluan dengan hanya satu cara yang boleh – guna batang kayu.”

Anggota berpengalaman dari 9 Rejimen Askar Melayu DiRaja  (9RAMD) sedia menghadapi kemungkinan paling buruk, tetapi musuh mereka, Parti Komunis Malaya menjadikan medan perang lebih berbahaya.

“Kejadian ini pada 1986, jadi gerila komunis belajar bagaimana menghasilkan alat letupan reka ganti seperti yang digunakan Vietcong dengan berkesan semasa Perang Vietnam.

“Pada hari kami masuk ke dalam hutan, kami dengar letupan berdekatan kami.”

Zulkifli semasa muda sebelum hari dia hilang sebelah kaki ketika memerangi komunis.

Kumpulan Zulkifli, sebahagian daripada Ops Taksin 8601, iaitu operasi bersama antara tentera darat dengan Renjer Diraja Thailand untuk menghapuskan pangkalan komunis berdekatan sempadan, diatur ke kedudukan paling depan.

“Kami berada kira-kira 150m daripada sempadan dan unit askar terdekat berada 2km dari kedudukan kami. Kalau kami diserang hendap, memang habislah kami.”

Ketika kumpulannya mara perlahan-lahan melalui kawasan berperiuk api, Zulkifli ternampak pergerakan pada semak, dan mengesyaki gerila, dia memberi isyarat kepada anggota kumpulannya supaya melindungi dia dan seorang askar bernama Ariff ke depan untuk menyerang mereka.

“Baru lima atau enam langkah saya terdengar bunyi letupan yang kuat, sedar-sedar saya ternampak ibu saya di dapur dan kemudian isteri saya; seolah-seolah saya dalam Twilight Zone.”

Semua itu berlaku seketika sehingga Zulkifli terdengar Ariff memanggil ibunya.

Antara pingat yang dianugerahkan kepada Zulkifli bagi keberaniannya.

“Kemudian saya ternampak Ariff. Mukanya berlumuran darah, dan dia menjerit kesakitan jadi saya berikan dia satu dos morfin. Pada zaman itu, setiap anggota hanya diberi satu dos untuk 10 orang.”

Selepas mengenakan morfin itu, Zulkifli cuba berdiri tapi terjatuh.

“Saya pening tapi masih sedar. Saya boleh nampak tangan dan kaki kiri saya koyak terkena serpihan.

“Seorang anggota kumpulan minta saya periksa diri. Saya jawab saya ‘okay’, dan saya tak cedera teruk.

“Dia tanya saya mengenai but yang berada beberapa meter dari situ. Saya tengok dan saya tahu but itu saya punya.

“Saya tengok kaki kanan dan saya nampak ia seperti wayar-wayar berselirat.”

Seorang askar, Lt Azmi kemudian menggendong Zulkifli sejauh 3 km merentasi kawasan berbukit ke kawasan helikopter mendarat supaya dia boleh dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.

“Semasa saya dibawa keluar, saya ternampak anggota-anggota kumpulan saya menangis. Saya tak sanggup tengok jadi saya menyanyi untuk naikkan semangat. Lagu P Ramlee, ‘Berkorban Apa Saja’,” katanya.

Dia diterbangkan ke Hospital Besar Pulau Pinang tetapi terpaksa menunggu selama 12 jam sebelum dirawat kerana kekurangan doktor semasa sambutan Tahun Baru Cina.

Dia juga diberitahu Ariff hanya mengalami kecederaan di telinga dan tidak perlukan morfin pun.

Peminat sukan ini sudah kehilangan kaki kanan, tetapi selepas beberapa bulan dia kembali ke hutan yang sama cuma kali ini dengan kaki palsu dan ditugaskan sebagai pegawai perisikan.

Askar yang menyertai perkhidmatan tentera pada 1980 itu kemudian bertugas di Kementerian Pertahanan sehinggalah dia bersara awal tahun ini dengan pangkat kolonel.

Zulkifli pernah mewakili Malaysia sebagai atlet Paralimpik dalam sukan menembak, dan terus menjalani kehidupan aktif, termasuk pergi menyelam skuba baru-baru ini dengan kaki palsunya.

Mengimbau kembali masa lalu, Zulkifli sama sekali tidak menyesal berkhidmat untuk negara tetapi sedih melihat semangat patriotisme yang rendah dalam kalangan rakyat hari ini.

Orang mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik, tapi bagi Zulkifli, makna patriotisme bukan sekadar itu.

“Saya nampak patriotisme sebenar dalam rakyat Malaysia yang menghormati saudara senegara. Saya tak suka bila seseorang mula menuntut hak istimewa untuk kaumnya.

“Dalam tentera, kami belajar untuk menjadi ‘buta warna’.

“Semasa membesar di Kuala Lumpur pada 1970-an, kami ada kawan-kawan dari semua kaum. Kami main bersama dan meraikan perayaan masing-masing bersama.

“Sekarang? Semuanya mengenai bangsa dan agama,” katanya.

Veteran ini berharap rakyat boleh sekali lagi mendakap semangat bersatu hati seperti zaman dulu.