Pembenihan awan bawa hujan, namun lebih banyak sekolah ditutup esok

Esok semua sekolah di Putrajaya diarah tutup berikutan indeks jerebu melebihi bacaan 200. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan jerebu yang dijalankan hari ini membuahkan hasil apabila 3 negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan hujan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon, berkata operasi itu dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari tadi dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan tentera udara (TUDM).

Menurut satu hantaran foto dalam laman Facebooknya, MetMalaysia menerangkan proses OPA memerlukan penganalisaan keadaan atmosfera terlebih dahulu bagi menentukan tempoh kesesuaian pelaksanaan operasi itu.

Menurut hantaran itu lagi, kebiasaannya hujan antara 30 dan 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

Sementara itu, walaupun hujan di beberapa kawasan, pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan bacaan 202 sehingga 8 malam ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan pada 8 malam semalam di Putrajaya adalah 134, dan bagi tempoh 24 jam tersebut sehingga 8 malam ini, menunjukkan trend turun naik antara kategori tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300).

Berikutan itu, semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok susulan bacaan IPU yang melebihi 200 mulai 5 petang tadi dan merupakan kali pertama sekolah di Putrajaya ditutup ekoran jerebu yang melanda negara sejak 5 Sept lepas.

Di Melaka, semua sekolah akan dibuka seperti biasa esok ekoran bacaan IPU di negeri itu turun ke tahap tidak sihat berbanding sangat tidak sihat semalam.

Semalam, media melaporkan semua sekolah di Melaka akan ditutup esok sekiranya IPU di negeri itu mencatat bacaan melebihi 200 hari ini.

Di Johor Bahru, sesi persekolahan di 3 daerah yang ditutup 2 hari lepas berikutan IPU sangat tidak sihat, turut akan beroperasi semula seperti biasa esok.

Menurut data APIMS, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu (kecuali Kemaman, dan Sabah (kecuali Sandakan) menunjukkan bacaan IPU 0 hingga 100 sehingga 8 malam.

Tiga lagi kawasan pula mencatat bacaan sangat tidak sihat, iaitu Johan Setia Klang (229) di Selangor dan 2 kawasan di Sarawak, iaitu Sri Aman (204) serta Kuching (223).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya dan orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.