Pengerusi PPBM Santubong dilantik ketuai parti di Sarawak

Ketua penyelaras PPBM negeri Sarawak yang baru, Jaziri Alkaf A Suffian.

KUCHING: Pengerusi PPBM Santubong Jaziri Alkaf A Suffian dilantik untuk mengetuai jawatankuasa kepimpinan Sarawak dan akan memimpin parti itu di negeri berkenaan.

Jaziri, 41, yang berasal dari Miri akan menggantikan Redzuan Yusof sebagai penyelaras parti di Sarawak.

Pengumuman itu dibuat semasa sesi dialog dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin PPBM di sini, hari ini.

Keputusan melantik Jaziri, seorang arkitek, dibuat dalam satu mesyuarat majlis pimpinan parti pada 29 Ogos lepas yang dihadiri 6 bahagian PPBM di Sarawak, iaitu Samarahan, Stampin, Sri Aman, Saratok, Bintulu dan Santubong.

PPBM menyasarkan penubuhan 1 bahagian di kesemua 31 kawasan Parlimen di Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahathir, yang merupakan pengerusi PPBM berkata, tidak mustahil parti itu berjaya menumbangkan kerajaan Sarawak sedia ada jika ahlinya dan Pakatan Harapan (PH) terus bersatu.

“Kerajaan Sarawak hari ini adalah sebahagian daripada pentadbiran lepas dan sudah pasti akan mempertahankan kedudukan mereka. Tetapi jika kita terus bersatu, maka ada kemungkinan kita dapat menumbangkan kerajaan yang memerintah,” katanya.

Katanya, penting bagi PPBM bekerjasama dengan parti komponen PH yang lain bagi membolehkan gabungan itu memenangi negeri tersebut, dengan menambah bahawa sekarang bukan masanya mereka berpecah.

“Kita mesti bersatu dengan mereka (komponen PH) sama ada kita menyukai keputusan mereka atau tidak. Kita tidak boleh memang jika kita mahu menguasai semua perkara,” katanya.