Piagam Muafakat: ‘Umno-PAS tidak boleh harap laluan lancar’

PH mungkin mempunyai masalahnya tersendiri, tetapi Umno dan PAS di bawah perjanjian ikatan baru tidak boleh mengharapkan perjalanan yang lancar.

Perbincangan atau perdebatan selalunya adalah satu reaksi terhadap sesuatu perkembangan, sama ada menyokong atau pun menentang.

Politik atau pun perbincangan berkaitan sesuatu masalah tidak berlaku tanpa sesuatu perkembangan.

Perbincangan atau perdebatan mengenai ikatan Umno-PAS yang baru tidak boleh difahami hanya secara abstrak tanpa mengambil kira faktor penentuan yang lain.

Faktor yang lain merujuk kepada kemunculan gabungan politik PH dan kesannya terhadap Umno dan PAS serta pemfailan tuduhan jenayah seperti rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain terhadap beberapa pemimpin Umno.

Sikap tergesa-gesa dalam mengeratkan kerjasama politik, sesuatu yang tidak berlaku sejak beberapa dekad yang lalu, adalah penunjuk kepada penyatuan 2 parti politik Melayu utama dengan tujuan mendapat sokongan masyarakat Melayu.

Dalam erti kata yang lebih spesifik, persahabatan baru antara lain bertujuan untuk menjatuhkan gabungan PH dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Piagam kebangsaan baru sebagai platform politik untuk ikatan Umno dan PAS tidak menunjukkan sebarang agenda konkrit kedua-dua pihak dalam memastikan pembangunan ekonomi seimbang untuk rakyat Malaysia, menghapuskan kemiskinan, membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta memastikan ketelusan di pihak kerajaan dan penyingkiran undang-undang yang menentang hak asasi manusia.

Ungkapan perpaduan Melayu-Muslim hanyalah sekadar panggilan untuk masyarakat Melayu untuk bersatu atas dasar bangsa dan agama.

Walaupun perhimpunan ini diarahkan kepada orang Melayu, piagam tersebut tidak mengecualikan kebimbangan orang bukan Melayu dan keperluan untuk mematuhi hak yang termaktub dalam perlembagaan.

Walaupun pelbagai kemeriahan dijana melalui kerjasama politik yang baru, kedua-dua parti akan mempunyai pelbagai halangan dan perjalanan yang jauh dalam niat untuk menjatuhkan PH dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerjasama politik yang baru ini tidak boleh dianggap ringan oleh PH dan komponennya.

Persepakatan politik baru Umno dan PAS mungkin senyap mengenai isu-isu makro seperti pembangunan ekonomi, pembasmian kemiskinan dan lain-lain isu tetapi pendekatan kedua-dua parti terhadap bangsa dan agama dapat membangkitkan emosi masyarakat untuk mengundi mereka.

Sekiranya PH tidak menangani isu-isu pembangunan yang penting dalam tempoh ini, kemungkinannya rungutan sosioekonomi segmen B40 akan mengakibatkan mereka teralih kepada semangat perkauman serta agama dan akan menyokong Umno dan PAS.

Inilah sebabnya mengapa piagam Umno-PAS hanya menyentuh hal-hal umum dan bukannya isu-isu pembangunan yang konkrit kerana sesetengah pemimpin Umno yang terkenal termasuk presiden semasanya Zahid Hamidi menghadapi pelbagai tuduhan rasuah.

PAS juga bukanlah pihak yang tiada penyimpangan dari ideologinya.

Walaupun terdapat dakwaan rasuah terhadap beberapa pemimpinnya, ia tidak mengurangkan hakikat bahawa terdapat tuduhan yang lebih serius terhadap parti tersebut yang memperolehi dana 1MDB dari Umno sebelum pilihan raya umum lepas.

Ya, ikatan politik baru Umno dan PAS mungkin akan menimbulkan masalah bagi PH dan PH harus menganggap serius cabaran ini serta perlu menangani masalah kritikal yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Lebih daripada 16 bulan telah berlalu sejak kemenangan pilihan raya umum tetapi janji-janji manifesto PH belum ditangani dengan sempurna.

Isu kemiskinan masih belum dapat diselesaikan bagi segmen B40.

PH masih belum memahami sepenuhnya tahap kemiskinan sebenar di negara ini.
Isu penggantian kepimpinan tetap samar lagi walaupun terdapat perjanjian awal bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menggantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sudah tentu, perjanjian politik baru belum lagi menentukan sokongan automatik atau sokongan membuta-tuli kepada Umno dan PAS.
Masih belum pasti bahawa kedua-dua parti ini akan memenangi kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.

Saya sangat ragu-ragu bahawa pendekatan kaum dan agama kedua-dua parti ini akan menerima sambutan dari Sabah dan Sarawak.

PH mempunyai tiga setengah tahun lagi sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
Ada kemungkinan sekiranya PH dapat mengatasi kelemahannya sekarang, situasi boleh berubah secara positif untuk gabungan PH.

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno yang mempunyai tuduhan rasuah dan sebagainya adalah disabitkan bersalah, kepimpinan Umno mungkin akan jatuh dalam krisis.
Hal ini mungkin mendatangkan masalah kepada ikatan baru ini.

Melainkan kelemahan dalam PH, pakatan Umno-PAS mungkin akan menghadapi masalah dalaman pada masa yang akan datang mengenai siapakah yang akan menjadi perdana menteri, sama ada calon dari Umno atau PAS.

Saya tidak takin bahawa Umno akan memberi jalan kepada PAS pada masa ini.
Walaupun wujudnya ikatan baru, Umno tidak akan menerima PAS sebagai parti kebangsaan, ia akan diketepikan sebagai parti wilayah sahaja.

Sama ada merujuk kepada PH atau tidak, terdapat terlalu banyak masalah dalaman yang mungkin muncul di masa hadapan untuk merumitkan lagi persahabatan antara Umno dan PAS dan menjadikan perjanjian baru ini sebagai tidak berkesan atau belum matang lagi.

P Ramasamy adalah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.