PM seru rakyat ambil iktibar konflik negara luar, tolak naratif sempit

Perdana Menteri Dr Mahathir mengibarkan Jalur Gemilang pada acara sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam ini. Turut kelihatan Dr Siti Hasmah Moh Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bersempena sambutan Hari Malaysia 2019, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat agar mengambil iktibar daripada kehancuran negara luar yang mengalami konflik akibat perpecahan dalaman yang melanda negara berkenaan.

Mahathir dalam ucap amanatnya berkata, kehancuran yang berlaku di negara luar masih belum dapat dipulihkan meskipun sudah melangkaui beberapa generasi.

Beliau berkata, wujud usaha yang mahu melemahkan perpaduan di Malaysia yang dilakukan oleh rakyat negara ini sendiri.

Katanya, ia dilakukan melalui naratif yang berkait dengan perkara sensitif melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

Bagaimanapun katanya, usaha itu boleh ditepis jika rakyat terus memiliki jiwa besar, berfikiran waras, berkeyakinan tinggi dan tidak membiarkan diri dipengaruhi dengan naratif berkenaan.

“Setelah bersama di dalam keluarga besar Malaysia lebih 5 dekad, saya yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud ini dan akan terus bersama mempertahankan perpaduan kita,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, malam ini.

Hadir sama Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin kerajaan pusat dan negeri.

Sambutan gilang-gemilang yang berlangsung selama hampir 2 jam itu turut diceriakan dengan pelbagai persembahan tarian dan tayangan video yang memukau hadirin, termasuk tetamu kehormat.

Terdahulu, Mahathir dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini disambut Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas.