Putrajaya akan lantik ketua kampung di Sarawak Januari depan

Sivarasa Rasiah.

KUCHING: Kerajaan pusat akan meneruskan pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak walaupun mendapat bantahan kerajaan negeri.

MPKK dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi gagal dimulakan di Sarawak.

Semalam Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sivarasa Rasiah berkata, kerajaan PH akan meneruskan langkah merombak kepimpinan pengurusan komuniti di peringkat kampung.

“Kita akan membincangkan perincian dan mekanik pelantikan itu (di peringkat kementerian), tetapi pada dasarnya, itulah keadaannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan agung tahunan bahagian PKR Sarawak di sini, semalam.

Beliau berharap semua masalah akan selesai menjelang 1 Jan depan.

Kerajaan PH mewujudkan MPKK bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara, tetapi Sarawak masih menggunakan sistem JKKK, yang menyaksikan isu berkaitan pelantikan dan pengurusan terletak di bawah kerajaan negeri.

Sivarasa berkata, walaupun pada tahun lepas kerajaan PH bersetuju bahawa kerajaan negeri terbabit akan melantik pemimpin komuniti mereka sendiri, namun ia tidak berjalan lancar di Sarawak.

Katanya, beliau difahamkan bahawa setiausaha kerajaan Sarawak telah mengeluarkan satu memorandum melarang pemimpin komuniti daripada menghadiri apa-apa acara yang dianjurkan oleh pemimpin PH.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Unggah menjelaskan bahawa pemimpin komuniti dilarang menghadiri acara anjuran pemimpin PH kerana agensi persekutuan tidak lagi membantu kerajaan negeri.

Beliau berkata, akibatnya, gaji pemimpin komuniti di negeri itu kini dibayar sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak sejak Mei tahun lepas.

Oktober lepas, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi akan membayar 70% daripada gaji pemimpin komuniti lantikan politik di Sarawak.

Menurut beliau, hanya pemimpin komuniti yang dipilih secara demokratik oleh penghuni rumah panjang akan mendapat dana daripada Putrajaya.