Rakyat bertanjak mewarnai Dataran Merdeka sempena Hari Malaysia

Sekumpulan anak muda mengenakan tanjak sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR: Jerebu yang melanda negara tidak menghalang ratusan rakyat termasuk beberapa aktivis menggayakan tanjak sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, hari ini.

Mereka yang bertanjak datang secara kumpulan dan bersama keluarga. Mereka mula berhimpun di Dataran Merdeka sejak jam 9 pagi.

Seorang pengunjung, Shafrizan Sharuddin, 39, yang bertanjak dan berpakaian baju tradisional Melayu berkata dia dating bagi menyahut cabaran sekumpulan aktivis di Facebook.

Dia yang datang dari Port Klang menaiki pengangkutan awam untuk menunjukkan kepada orang ramai mengenai pakaian tradisional itu.

“Saya datang dengan keluarga dan mengucapkan Selamat Hari Malaysia,” katanya kepada FMT ketika ditemui sempena sambutan Hari Malaysia.

Seorang lagi rakannya Zaidi Basri, 35, berkata dia mahu memperkenalkan busana Melayu itu yang generasi muda masa kini sudah lupa dan ada yang tidak tahu mengenainya.

Shafrizan Sharuddin (kiri) dan Zaidi Basri lengkap berpakaian baju tradisional Melayu dan tanjak.

“Orang-orang bangsawan dulu pakai macam ini. Orang-orang politik pakai macam ini.

“Bagi orang yang tak tahu pun jadi berminat dan tahu,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan aktivis merekrut ribuan orang dalam talian untuk bersama menggayakan tanjak sebagai tanda kesatuan untuk menolak perkauman yang dipromosikan sesetengah ahli politik yang manipulatif.

Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, penggerak kempen menjenamakan semula konsep bangsa Melayu ini, memberitahu kira-kira 30,000 orang mendaftar untuk menyertai acara yang diadakan hari ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Jualan tanjak turut diadakan di Dataran Merdeka.

Faiz berkata kempen dalam talian itu kini sudah tersebar dengan sendirinya, siap dengan tanda pagar tersendiri #berdirisendiri.

Sementara itu, sekumpulan peserta di Program Keretapi Sarong 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut menyahut cabaran kumpulan aktivis itu.

Mohd Shahidi Ishak, 31, berkata dia dan rakan-rakannya mempunyai satu komuniti yang dikenali sebagai “Arma Malaysia”.

Seorang remaja Cina turut mengenakan tanjak semasa sambutan Hari Malaysia.

“Hari ini kita buat satu acara bertanjak di dalam Facebook kita untuk datang bertanjak.

“Ahli kami lebih 100 dan ada lagi yang akan datang,” katanya.

Shahidi berkata dia mahu tunjukan Melayu mahu kembali bertanjak dan menunjukkan jati diri Melayu.

“Bukan ke arah rasis atau apa-apa. Masa akan datang akan buat lagi acara bertanjak,” katanya.