Salleh Keruak bimbang isu kaum, ekstremis agama tidak terkawal

Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas menteri persekutuan Salleh Said Keruak menyatakan kebimbangan mengenai isu politik negara yang kini terarah kepada perpecahan dan politik ekstrem.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata nilai kesederhanaan yang menjadi landasan kepada perpaduan mula diketepikan pihak tertentu.

“Rakyat diapi-apikan dan menjadi mangsa manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan politik semata-mata.

“Setiap hari kita dengar berita-berita yang tidak enak didengar. Bara perkauman dan ektremis agama ini jika tidak dikawal, akan membakar kita semua.

“Perpaduan yang dipupuk sejak turun temurun akan terhapus sekelip mata,” katanya menerusi catatan blog.

Salleh berkata apabila bercakap tentang perpaduan, ia hanya berkisar kepada 3 masyarakat utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, seolah-olah meminggirkan 30 kumpulan etnik di Sabah dan 27 etnik di Sarawak.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia tidak kiralah bangsa, kaum, etnik atau suku.

“Hari ini, suara kita tenggelam dalam kancah perkauman dan politik ekstrem. Kita harus bekerjasama, tidak kira bangsa, agama atau latar belakang, dan memulakan langkah untuk menenggelamkan kembali suara-suara ekstrem itu,” katanya.

Baru-baru ini muncul kempen “Buy Muslim-made first” (BMF) yang dipelopori NGO Islam walaupun ia mendapat tentangan pihak tertentu dan kerajaan menggalakkan rakyat mengutamakan barangan buatan Malaysia.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian menyelar MCA dan MIC yang dikatakan tidak membantah secara terbuka terhadap sokongan diberikan oleh PAS dan Umno dalam kempen yang mendorong orang ramai memboikot produk bukan Islam.

Bekas perdana menteri Najib Razak pula berkata Pakatan Harapan melakukan silap besar jika ia membiarkan pemimpin DAP menjadi pengkritik utama kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam dan orang yang paling tidak sesuai untuk menghentikan kempen itu ialah Kit Siang dan Guan Eng.

Selain isu BMF, negara juga dikejutkan dengan penahanan besar-besaran terhadap pengikut Syiah, termasuk warga asing oleh pihak berkuasa agama negeri.

Seramai 23 orang yang ditahan pada 6 September dalam serbuan di sebuah pusat kegiatan Syiah di Gombak sempena mengingati Hari Asyura. Manakala 8 orang ditahan dalam acara tertutup Syiah di Kempas, Johor.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia kemudian menyifatkan tindakan itu sebagai melanggari hak perlembagaan terhadap pengikut Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Manakala Lawyers for Liberty (LFL) pula berkata ia melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang menjamin hak kebebasan beragama dan melindungi individu daripada diskriminasi oleh kerajaan dan institusi negeri berdasarkan agama atau kepercayaan.