Santiago disoal siasat berkaitan laporan Zakir Naik

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bersama peguam beliau, John Fam di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago disoal siasat di Bukit Aman hari ini di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan niat mencetuskan pecah keamanan berikutan kenyataan beliau menggesa Kabinet bertindak ke atas penceramah warga India Dr Zakir Naik.

Beliau berada di Bukit Aman kira-kira 1 jam 30 minit dan diiringi peguam John Fam dari firma S N Fam & Co.

Santiago disiasat berikutan laporan polis dibuat 2 pihak iaitu Naik sendiri dan satu kumpulan kira-kira 300 orang di seluruh negara.

Bercakap kepada pemberita selepas disoal siasat, Santiago berkata, beliau umumnya dipanggil berikutan kenyataan yang dibuatnya pada 13 Ogos bertajuk “Wednesday’s Cabinet Meeting Must Discuss Zakir Naik’s Meddling in Local Politics”.

Dalam kenyataan yang dinaikkan ke Facebook dan dilaporkan oleh media selepas itu, Santiago menggesa Kabinet membincangkan kenyataan yang dibuat oleh Naik, yang menurutnya mengandung unsur memecah-belah.

Beliau merujuk kepada ucapan Naik di Kota Bharu, yang menyaksikan penceramah itu berkata, terdapat sebilangan penganut agama Hindu di Malaysia yang lebih setia pada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Naik juga dilaporkan berkata, seperti dirinya, orang Cina yang tidak dilahirkan di negara ini juga merupakan “tetamu”.

Berikutan respons negatif, Naik menegaskan kenyataan beliau dipetik di luar konteks dan diputarbelitkan.

Fam berkata, Naik bagaimanapun belum menghantar writ saman berkaitan perkara itu.

“Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkaitan perbuatan memfitnah. Charles mendapat surat daripada peguam Zakir Naik yang menuntut ganti rugi dan permohonan maaf tanpa syarat. Surat itu diserahkan kepada kami kira-kira 1 bulan lepas.

“Kami telah menjawabnya dengan berkata, ia (kenyataan Santiago) tidak memfitnah. Kenyataan beliau adalah kebenaran. Ia merupakan komen wajar dan sah. Sekiranya mereka mahu meneruskan tindakan, maka kami sentiasa bersedia menerimanya.

“Sehingga kini, firma saya tidak menerima apa-apa writ saman dan sekiranya kami menerimanya, maka kami akan bertindak sewajarnya,” kata beliau.

Ahli Parlimen Klang itu juga berkata, beliau mempertahankan kenyataan yang dibuatnya dan bahawa beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk menasihati Kabinet.

Santiago merupakan salah seorang daripada beberapa individu yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung kenyataan masing-masing berkaitan penceramah kontroversi itu.

Turut disoal siasat ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; bekas duta Dennis Ignatius; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam Satees Muniandy.

Ramasamy dan Muniandy disoal siasat minggu lepas di Pulau Pinang.

Naik mendakwa 5 individu berkenaan membuat kenyataan fitnah terhadapnya dan mahu polis mengambil tindakan ke atas mereka di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 kerana memfitnah dan mengapi-apikan ketidakharmonian kaum serta kebencian dalam kalangan rakyat.