Wee gesa Guan Eng buat laporan SPRM berhubung ‘surat projek’ RM450 juta

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, surat tular yang dikeluarkan oleh seorang konttraktor itu jelas menunjukkan ia dipersetujui oleh menteri kewangan.

PETALING JAYA: Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar beliau tidak mengetahui akan kewujudan surat daripada kementerian itu berkaitan satu projek rundingan terus bernilai RM450 juta di Kota Bharu, Kelantan.

Wee berkata, Guan Eng perlu segera membuat laporan polis dan SPRM kerana ia merupakan salah laku urus tadbir dan penyalahgunaan kuasa yang serius di peringkat kerajaan pusat.

“Jika menteri kewangan tidak membuat sebarang laporan, sangat sukar baginya untuk meyakinkan orang ramai dan terus memimpin,” kata Wee, merujuk kepada satu surat tular yang dikeluarkan oleh seorang kontraktor yang menunjukkan ia dipersetujui oleh menteri kewangan.

Dalam pada itu Wee berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kewangan, pegawai kanan Bahagian Perolehan Kerajaan akan menandatangani surat sedemikian bagi pihak ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Surat tular berkenaan dihantar ke Twitter oleh timbalan ketua Umno Seputeh Mohd Razlan Rafii yang mempersoalkan kenapa projek rundingan terus masih diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu hari ini, Guan Eng ketika ditemui media menegaskan beliau tidak menandatangani surat itu dan memerlukan lebih masa untuk mengkajinya dan berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perkembangan sama, semalam perdana menteri dilaporkan berkata, beliau tidak tahu berkenaan dakwaan mengatakan kerajaan meluluskan projek RM450 juta itu dan akan menyemak perkara itu.

Surat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan penganugerah projek secara rundingan terus kepada sebuah syarikat bagi pembinaan sebuah bangunan gunasama persekutuan di Tunjong, bernilai RM450 juta.