Anak bekas KM Sabah Musa Aman sah ahli PPBM

Yamani Hafez Musa (4 dari kanan) terima kad keahlian PPBM daripada Dr Mahathir Mohamad sambil diperhatikan pimpinan kanan parti di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Yamani Hafez Musa, anak kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman disahkan sebagai ahli PPBM, menamatkan spekulasi mengenai kedudukannya.

Setiausaha PPBM Sabah Ronald Kiandee berkata Pengerusi Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kad keahlian parti kepada Yamani di satu majlis hari ini.

“Yamani kini ahli PPBM,” katanya selepas pertemuan antara pimpinan kanan PPBM Sabah dan Mahathir di sebuah hotel hari ini.

Kiandee berkata Yamani, yang juga ahli Parlimen Sipitang, akan duduk bersama penyokong kerajaan di Parlimen.

Dengan kemasukan Yamani, PPBM kini ada lima ahli Parlimen dan 9 Adun di Sabah.

Yamani sebahagian daripada penghijrahan besar-besaran ahli Umno Sabah daripada parti itu pada Disember.

Pada Jun, dia tidak pasti adakah dia seorang ahli PPBM kerana dia masih duduk dalam kalangan wakil rakyat bebas di Parlimen, walaupun dia diberitahu keahliannya sudah diterima.

Yamani, yang menang kerusi Sipitang atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, berkata dia memohon untuk sertai parti komponen PH itu sebelum tahun ini.

Pada Jun, Yamani mengekalkan kerusinya selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan Warisan yang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar kemenangannya.