Anwar ‘samurai terakhir’, sebagai PM boleh satukan negara, kata Pandikar

Presiden Usbo, Pandikar Amin Mulia (dua dari kiri) bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim (tengah) dan Penasihat Usbo, Salleh Keruak (dua dari kanan).

KOTA KINABALU: Bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran seruan sesetengah orang dan kumpulan di Sabah dan Sarawak tentang pemisahan dari Malaysia semakin hari semakin kuat.

Mengatakan Malaysia dalam bahaya jika seruan seperti itu berterusan dan jika isu kaum dan agama dimainkan oleh pelbagai kumpulan di Semenanjung, beliau berkata hanya Presiden PKR Anwar Ibrahim boleh menyelamatkan keadaan.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) di Kota Belud hari ini, Pandikar berkata kumpulan-kumpulan itu, terdiri daripada orang-orang berpendidikan, sedang mempengaruhi generasi muda.

Pandikar, yang juga presiden Usbo, berkata: “Sebagai kumpulan yang mengusahakan pembentukan persekutuan, Usbo berharap penyatuan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu akan berkekalan.”

“Saya fikir Malaysia dalam bahaya jika apa yang berlaku sekarang ini, di mana isu kaum dan agama sedang dimainkan, tidak dihentikan.”

Pandikar berkata negara memerlukan seorang pemimpin yang terbukti tidak goyah dalam kepercayaannya pada Malaysia yang bersatu tanpa mengira kaum dan agama walaupun berdepan halangan.

Pemimpin itu menurut beliau, adalah Anwar Ibrahim, yang dinamakan sebagai perdana menteri seterusnya oleh Pakatan Harapan.

Pandikar berkata warga Sabah dan Sarawak tidak suka dengan cara mereka dilayan kerana percaya mereka rakan setaraf Tanah Melayu.

“Itu akan menjadi tanggungjawab Anwar. Beliau samurai terakhir untuk mempertahankan Malaysia. Generasi muda tidak mahu dengar sejarah,” katanya.

Pandikar enggan menjawab sama ada beliau dan pimpinan Usbo akan menyertai PKR, menurut khabar angin, tetapi mereka akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri seterusnya dan akan memberikan beliau peluang untuk melaksanakan reformasi yang diperjuangkan.

Sementara itu, Anwar berkata dia gembira dengan kemajuan libat urus pimpinan negeri Borneo dan kerajaan persekutuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tanggungjawab saya nanti adalah meneruskan kerjasama dan perbincangan ini,” katanya.

Sementara itu, penasihat Usbo, Salleh Said Keruak berkata pertubuhan itu sepenuhnya menyokong Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.

Beliau percaya Anwar berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan Malaysia, terutama kerana perkembangan ekstremisme politik yang terlalu menekankan kaum dan agama.

“Ekstremisme ini bertentangan dengan prinsip MA63. Bawah perjanjian itu, tidak ada pun tentang ketuanan kaum. Bagi kami di Usbo, ini bentuk ekstremisme politik yang amat bahaya.

“Perkara paling penting ialah kesatuan semua kaum, bukan untuk kaum-kaum tertentu sahaja,” katanya.

Beliau memuji Anwar kerana tidak berdendam dengannya dan Pandikar serta pemimpin-pemimpin lain yang berada di pihak lawan tidak lama dulu.

Pandikar dan Salleh sebelum ini bersama Umno.