Belum ada laporan anak syarikat FGV terlibat kebakaran terbuka

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd belum menerima sebarang laporan mengenai penglibatan anak syarikatnya dalam pembakaran terbuka di Indonesia yang mengakibatkan jerebu di rantau ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Haris Fadzilah Hassan.

“Selagi kita belum menerima data itu, kami tidak boleh mengatakan (perbuatan) itu berlaku atau tidak,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama diantara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOP) dan DKSH (Malaysia) Sdn Bhd hari ini.

“Setakat ini kita tidak mempunyai laporan mengenai perkara itu, namun, sudah pasti, berada di Indonesia adalah agak rumit kerana kita mempunyai (Perkebunan) Inti (Rakyat) dan Plasma (Program Transmigrasi) dan beberapa pekebun kecil di sekitar ladang luas itu,” katanya.

Perkebunan Inti Rakyat merupakan skim usaha sama antara syarikat dan pekebun kecil, manakala Program Transmigrasi Plasma melibatkan petani yang mengambil bahagian dalam program yang diwujudkan kerajaan Indonesia.

Terdahulu, Haris berkata FGV mewujudkan syarikat usaha sama perladangan kelapa sawit dengan Lembaga Tabung Haji di Kalimantan Tengah, Kalimantan Utara, Kalimantan Barat dan Pontianak.

Mengenai jerebu, Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan dan Ketua Kluster Huluan Sawit FGV Syed Mahdhar Syed Hussain berkata bencana itu boleh memberi kesan kepada kadar pengekstrakan minyak FGV bagi Oktober.

Harga minyak sawit mentah semasa adalah kira-kira RM2,100 atau lebih bagi setiap tan. Jika saya bercakap mengenai lima tan (pengekstrakan) tanaman untuk meraih satu tan minyak, jadi, ia melibatkan kira-kira 20 peratus.

“Jadi, jika anda melihat dari segi peratusan, kesannya ialah kepada kadar peratusan terhadap jumlah tandan buah segar (yang) saya boleh ekstrak, ia berkemungkinan memberi kesan 0.2 peratus hingga 0.5 peratus dan melibatkan peratusan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas program itu.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan ke atas keuntungan FGV, kata Syed Mahdhar.