Beri Ku Nan rasuah, ahli perniagaan didenda RM1.5 juta

Mahkamah Tinggi mengenakan denda RM1.5 juta ke atas pemaju hartanah, Tan Eng Boon (kiri) selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM1 juta kepada Tengku Adnan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengenakan denda RM1.5 juta terhadap seorang pemaju hartanah selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM1 juta kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam urusan transaksi tanah melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata Tan Eng Boon perlu membayar denda itu esok.

“Saya mengambil berat kepentingan awam dan kepentingan tertuduh dalam mengenakan hukuman,” kata hakim.

Tan, 70, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 15 November lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pada tarikh sama, Tan yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim dan peguam Tan, Faisal Moideen, mengemukakan tawaran rayuan kepada Nazlan.

Julia kemudian memberitahu pemberita Tan telah bersedia untuk mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda dengan syarat hukuman dikenakan hanyalah denda.

Nazlan, dalam menjatuhkan hukuman itu, berkata beliau mengambil kira Tan mengaku bersalah di awal perbicaraan.

“Ini telah menjimatkan banyak masa mahkamah dalam perbicaraan rasuah,” katanya, sambil menambah Tan juga merupakan pesalah pertama.

Nazlan berkata beliau juga menganggap Tan bersubahat dengan orang lain dalam melakukan jenayah di mana kedua-duanya dituduh bersama.

“Bagaimanapun, rasuah adalah satu jenayah yang serius kerana ia melemahkan pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara. Ia juga merosakkan landskap sosial masyarakat,” katanya.

Selepas mempertimbangkan rayuan, hakim berkata denda RM1.5 juta atau penjara setahun adalah hukuman yang sesuai.