Dr M: ‘Ambil tindakan ke atas Zakir, Malaysia perlu berhati-hati’

PETALING JAYA: Kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu sensitif termasuk kes membabitkan pendakwah kontroversi, Zakir Naik walaupun akui sebagai pemegang status penduduk tetap beliau tidak wajar menyentuh soal politik negara ini.

Pada masa yang sama tegas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, ramai yang berpendapat Naik seorang personaliti hebat.

“(Kecenderungan kepada beliau) satu gambaran sentimen kaum pada hari ini. Beliau bercakap (ceramah) dalam bahasa Inggeris, kebanyakan audien tidak (faham), tetapi ramai berpendapat beliau seorang personaliti agama yang hebat dan menyukai dia.

“Sekiranya kita mengambil tindakan terhadap beliau, kita akan (dilihat) menentang kumpulan itu. Di Malaysia anda perlu berhati-hati,” kata beliau dalam bual bicara bersama radio BFM sebentar tadi.

Kes membabitkan Naik merupakan antara beberapa isu yang dilalui kerajaan Pakatan Harapan sejak Mei 2019. Penganalisis secara umum melihat kerajaan dihimpit isu kaum dan agama sehingga menyukarkan pimpinan Mahathir sukar membuat keputusan dalam banyak perkara.

Dalam satu ceramah di Kota Bharu bulan lalu, Naik didakwa berkata penganut agama Hindu di Malaysia lebih setia kepada kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi di India berbanding kerajaan Malaysia.

Naik juga didakwa menyifatkan orang Cina yang tidak dilahirkan di negara ini sebagai “tetamu lama” yang harus kembali ke negara nenek moyang mereka sebelum beliau diminta meninggalkan Malaysia.

Beliau kemudiannya meminta maaf atas salah faham yang timbul, tetapi mendakwa kenyataannya itu dipetik diluar konteks dan “diputarbelitkan”.

Lebih 100 laporan polis dibuat terhadap Naik berhubung kenyataan tersebut. Beliau sedang disiasat oleh polis.

Dalam temu bual hari ini, Mahathir memberitahu Modi juga tidak memaklumkan kepada beliau semasa pertemuan di Rusia baru-baru yang negaranya mahu Naik dihantar pulang untuk menghadapi siasatan pihak berkuasa India.

“Tidak banyak negara mahu dia,” kata beliau dan seterusnya berkata, kerajaan sebelum ini yang membenarkan beliau tinggal di Malaysia dengan memberikan status penduduk tetap.

“Kita juga sedang cuba mencari tempat bagi beliau pergi. Setakat ini tidak banyak negara mahu menerimanya,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Mahathir berkata di Malaysia masih menghormati sensitiviti kaum dan sebab itu sekolah vernakular tidak ditutup.

Mahathir yang pernah menjadi menteri pelajaran memberitahu di Malaysia perlu ada satu sistem sekolah dan berbeza dengan negara lain.

“Sekolah vernakular bukanlah apa yang diperlukan dalam negara ini. Tetapi kita tidak akan menutupnya.

“Kami membuat beberapa cadangan seperti meletakkan sekolah bersama tetapi kumpulan pendidikan Cina tidak mahu,” katanya.

Mahathir berkata tidak banyak negara berbilang bangsa stabil seperti Malaysia sebab kita ada 3 ras iaitu agama, budaya dan perbezaan ekonomi di kalangan kaum.

“Namun negara stabil. Ini pencapaian. Di negara lain, anda mempunyai rusuhan dan peperangan sivil, sunnis dan shias telah membawa kemusnahan Syria,” katanya.