Isytihar darurat sekiranya IPU lebih 500, kata TPM

MUKAH: Kerajaan sedang meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani masalah jerebu yang semakin teruk melanda negara, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan juga tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan keadaan darurat sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap 500, iaitu keadaan yang sangat bahaya.

Selain itu menurutnya pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.

“Berdasarkan maklumat Laporan Terkini Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia sehingga 14 Sept 2019, seluas 328,724 hektar kawasan telah terjejas dengan kebakaran hutan di seluruh Indonesia,” katanya selepas merasmikan Program Sayangi Komoditiku Zon Sarawak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mukah hari ini.

Menurut Wan Azizah, kerajaan Indonesia telah meningkatkan pemantauan terhadap titik panas, jarak ketampakan, kualiti udara dan kewujudan asap di samping melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA), pengeboman udara dan juga pemadaman api di darat.

Enam wilayah yang terjejas ialah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Daerah Sri Aman di Sarawak merekodkan IPU yang semakin meningkat dengan bacaan di tahap berbahaya menghampiri 400 setakat 6 petang tadi, dan berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan terkini kawasan itu adalah 389, melepasi 300 sejak 2 petang.

Kuching masih berada pada tahap IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 213 diikuti Johan Setia, Selangor iaitu 231. Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan 206 manakala Seri Manjung, Perak menjadi lokasi terbaru sejak tengah hari tadi mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 232 berbanding 183 pada 9 pagi tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata Malaysia sudah menawarkan khidmat bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di negara itu.