Jerebu di Sri Aman capai tahap bahaya

Jerebu di Sri Aman, Sarawak mencatat bacaan IPU 367 pagi ini iaitu tahap bahaya. (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Satu kawasan di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya apabila Sri Aman merekodkan bacaan 367 setakat 9 pagi ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 pagi ini, Kuching juga masih mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 220.

Turut mencatatkan bacaan sangat tidak sihat ialah Johan Setia Klang, di Selangor iaitu 233 serta 2 kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (203) dan Port Dickson (212).

Selain itu, sebanyak 28 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 iaitu Sri Manjung, Perak (183), 2 kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (157) dan Cheras (148) dan Putrajaya (181).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah 5 kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya (161), Shah Alam (172), Klang (194), Banting (176) dan Kuala Selangor (176); 3 kawasan di Melaka iaitu Alor Gajah (180), Bukit Rambai (194) dan Bandaraya Melaka (169) serta Seremban di Negeri Sembilan (176).

Selain itu, 1 stesen di Perak iaitu Seri Manjung (183); Temerloh (137), Jerantut (112) dan Indera Mahkota Kuantan (119) di Pahang; Segamat (148), Batu Pahat (113) dan Kluang (110) di Johor turut merekodkan bacaan tidak sihat.

Lapan kawasan di Sarawak yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah ILP Miri (106), Miri (126), Samalaju (123), Bintulu (129), Mukah (141), Sibu (168), Sarikei (149) dan Samarahan (159).

Sementara itu, 32 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.