Jerebu makin buruk: 298 sekolah di Sarawak tutup, 109 di Port Dickson

Seramai 128,291 pelajar terjejas akibat penutupan sekolah hari ini selepas kualiti udara merekodkan tahap bahaya. (Gambar Facebook)

KUCHING: Sebanyak 298 sekolah di 8 daerah di Sarawak ditutup hari ini akibat jerebu dengan Sri Aman merekodkan kualiti udara tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan berkata ia melibatkan 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Seramai 128,291 pelajar terjejas akibat penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Kualiti udara di Sri Aman mencapai tahap bahaya secara mendadak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 352 pada 6 pagi dan meningkat kepada 365 dua jam kemudian berbanding 214 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata setakat 8 pagi, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 219, berbanding 215, dua jam sebelumnya.

Katanya lapan daerah kekal mencatatkan bacaan IPU tidak Sihat iaitu Samarahan (160), Sarikei (148), Sibu (166), Bintulu (129), Mukah (140), Samalaju (113), ILP Miri (107) dan Miri (126).

Dalam pada itu, sebanyak 109 buah sekolah di daerah Port Dickson dan Nilai, ditutup susulan bacaan IPU memasuki tahap sangat tidak sihat pagi ini.

Angka itu melibatkan 63 buah di Port Dickson manakala di Nilai melibatkan 46 buah sekolah.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pihak kementerian menyeru agar pihak sekolah sentiasa memantau bacaan IPU bagi mengatur sesi persekolahan.

“Pihak kementerian memantau secara dekat berhubung tahap kualiti udara dan pihak sekolah diseru untuk merujuk bacaan IPU setiap satu jam dan jika melebihi 200.

“Sekolah perlu ditutup serta merta macam pagi tadi di Nilai dan Port Dickson yang mana telah mencecah bacaan IPU melebihi 200, pada waktu sesi persekolahan baru bermula,” katanya.

Menurut Pkharuddin, bagi sesi persekolahan esok pihaknya akan membuat pengumuman berhubung sebarang perkembangan terbaharu selewat-lewatnya pukul 8 malam ini.