Kabinet bincang isu jerebu, syarikat Malaysia di Indonesia esok

Anggota bomba Indonesia memadam kebakaran di Ogan Ilir, Sumatera Selatan, mengakibatkan jerebu dan menjejaskan kualiti udara di rantau ini. (AFP)

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin akan memberi taklimat kepada Kabinet esok mengenai jerebu yang melanda sejak awal bulan ini, menjejaskan dengan teruk kualiti udara.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata: “Kabinet akan bermesyuarat esok dan saya pasti menteri berkenaan akan melaporkan perkara itu dan langkah-langkah susulan yang akan diambil.”

Ditanya mengenai tuding-menuding antara Malaysia dan Indonesia, beliau memberitahu pemberita kerajaan akan selesaikan isu itu secara baik kerana rantau ini pernah dilanda jerebu.

Terdahulu, menteri menghadiri program pertukaran bola keranjang Malaysia-China dan penyerahan bendera Malaysia kepada pasukan bola keranjang wanita negara. Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad belum menulis kepada Presiden Indonesia Joko Widodo tetapi para menteri sedang berhubung dengan rakan sejawat.

Saifuddin enggan mengulas adakah salah satu daripada 4 syarikat Malaysia yang tanahnya di Indonesia didakwa disita pihak berkuasa republik itu ada hubungan dengan keluarga seorang menteri.

Syarikat berkenaan adalah Sime Indo Agro yang berpangkalan di Kalimantan Barat, unit Sime Darby Plantation; Suskes Karya Sawit, unit IOI Corporation; Rafi Kamajaya Abadi, unit TDB Bhd; dan Adei Plantation and Industri yang berpangkalan di Riau, unit Kuala Lumpur Kepong Group.

“Esok kami akan bincang,” katanya.

Malaysia menutup ratusan sekolah di beberapa kawasan dan menghantar jutaan topeng ke Sarawak selepas jerebu mencapai tahan tidak sihat.

Indeks pencemaran udara di beberapa daerah di Sarawak mencapai lebih 300 pagi tadi, menandakan tahap bahaya dan membawa kepada penutupan sekolah di negeri, Selangor, Johor dan Putrajaya.

Putrajaya kecam serangan di Saudi

Sementara itu, Putrajaya mengecam serangan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi pada Sabtu, yang mengundang kebimbangan mengenai harga minyak.

Harga minyak ditutup hampir 15% lebih tinggi pada Isnin, dengan penanda aras Brent menyaksikan lonjakan terrtinggi dalam tempoh 30 tahun.

Minyak mentah Brent pada awalnya melonjak 20% ketika dagangan bermula pada Isnin, tetapi reda kepada AS$69 setong, atau kenaikan 14.6%.

Harga minyak AS naik 14.7%, lonjakan tertinggi sejak 2008.

Saifuddin berkata Putrajaya sedang memperhatikan perkembangan di Asia Barat selepas serangan yang mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak 5.7 juta tong sehari – kira-kira separuh daripada output Arab Saudi.

“Kami bimbang kerana ia boleh memberi kesan pada harga minyak,” katanya ketika diminta mengulas serangan terhadap kemudahan syarikat minyak milik Arab Saudi, Saudi Aramco.

Beliau berkata bantahan Putrajaya kepada serangan itu jelas kerana “kita tidak suka serangan terhadap orang awam dan aset.”