KDN lihat semula tukar kakitangan di tempat sensitif

KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus menambah baik sistem perkhidmatan dan tatacara operasi standard (SOP) semua jabatan dan agensinya bagi mengelak salah laku pegawai dan kakitangan.

Ketua Setiausaha Alwi Ibrahim berkata selain itu, pihaknya juga akan melihat semula keperluan untuk penukaran kakitangan terutama di tempat-tempat sensitif yang banyak berurusan dengan orang ramai sebagai langkah “menutup ruang” salah laku.

“Memang penukaran pegawai dan kakitangan ini telah ada panduannya dalam jabatan kerajaan supaya mereka yang duduk di tempat sensitif ini ditukarkan dari semasa ke semasa bagi mengelak masalah-masalah sebegini daripada berlaku.

“Saya minta jabatan agar lihat semula mana-mana kakitangan yang sudah lebih tiga tahun umpamanya atau kalau kurang daripada tiga tahun pun, kalau tempat itu sensitif, kita boleh ambil tindakan mungkin dua tahun sekali… kita akan lihat perkara ini dan lakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengulas penahanan beberapa individu termasuk pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang baru-baru ini yang disyaki terbabit dengan sindiket pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Terdahulu Alwi menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas tertua di Terengganu iaitu Mamat Abdullah yang berusia 118 tahun dan menyampaikan MyKad kepada beberapa penerima pada majlis itu.