Kelantan anjur pertandingan bina badan tutup aurat bulan depan

Kelantan menetapkan garis panduan pakaian sejak pertandingan Awang Selamat pertama kali diadakan pada 2016. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengekalkan konsep pertandingan bina badan yang dinamakan Mr Awang Selamat Kelantan 2019 bertemakan badan cantik patuh syariah pada 12 Oktober.

Tidak sebagaimana pertandingan bina badan biasa, pertandingan itu akan menonjolkan para peserta berseluar panjang melebihi paras lutut, bahagian pusat ditutup dengan kain selendang dan bertanjak, kata Exco Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Hamat.

Wan Roslan berkata pihaknya menetapkan garis panduan dalam cara berpakaian sejak pertandingan itu pertama kali diadakan pada 2016

“Pertandingan ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Awang Selamat Kelantan (Pasak) dengan 6 kategori iaitu; Mr Awang Selamat Kelantan Bakat Baru (Tertutup), Mr Awang Selamat Kelantan Pasak (Tertutup), Mr Awang Selamat Kelantan (Tertutup) 70 kg ke bawah, Mr Awang Selamat Kelantan (Tertutup) 70 kg ke atas.

“Selain itu, ada juga kategori terbuka iaitu; Mr Awang Selamat Kelantan (Terbuka) 70 kg ke bawah dan Mr Awang Selamat (Terbuka) 70 kg ke atas,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Wan Roslan berkata setakat ini seramai 110 peserta mendaftar termasuk dari polis, tentera laut dan dari beberapa negeri iaitu Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

Beliau menambah penyertaan masih dibuka sehingga hari pertandingan.