Kerajaan campuran bukan fokus utama Umno-PAS buat masa sekarang

Annuar (paling kiri) dan Takiyuddin (paling kanan) berkata Umno dan PAS belum membincangkan idea pembentukan kerajaan.

PETALING JAYA: Umno-PAS yang menandatangani Piagam Muafakat Nasional Sabtu lalu belum membincangkan idea kemungkinan pembentukan kerajaan campuran di negeri-negeri ditadbir kedua-dua parti itu buat masa sekarang.

Kedua-dua parti itu juga memutuskan berpendirian tidak akan bertindak sebagai pembangkang sebaliknya akan berperanan “kawan kerajaan”.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, “belum fikir sampai gitu (ke tahap itu). Kita tidak ada masalah. Kita boleh jadi kawan kerajaan.”

“Kawan kerajaan. Statusnya bukan sebagai ‘backbencher’, tetapi tidak lagi menjadi pembangkang,” kata beliau kepada FMT ketika ditanya sama ada Umno-PAS akan membincangkan pembentukan kerajaan campuran dalam waktu terdekat.

Kata beliau, pendekatan itu akan digunakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Semalam, Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) menyambut baik sebarang cadangan mewujudkan kerajaan campuran dengan PAS tetapi ia perlu diputuskan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

“Kita masih lagi boleh mengajak PAS untuk menyertai kerajaan kita (negeri). Tak perlu pun ada Exco melepas dan meletak jawatan yang telah dipegang. Masih ada ruang untuk dua wakil daripada PAS sertai kerajaan,” kata beliau.

Beliau berkata cadangan itu memerlukan hala tuju yang bersifat dasar yang diputuskan di peringkat kepimpinan parti tertinggi antara Umno dan PAS.

Sabtu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pihaknya kemungkinan akan mengajak Umno menyertai kerajaan di Kelantan dan Terengganu selepas kedua-dua parti itu menandatangani piagam kerjasama.

Kerajaan negeri Pahang diketuai oleh BN.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa ketika ditanya sama ada sudah perbincangan mengenai kemungkinan kerajaan campuran antara Umno dan PAS khususnya di Perlis berkata, “belum lagi.”

Katanya, Umno akan mengadakan siri jelajah negeri bagi memperkasakan “taawun dulu”.
Takiyuddin menambah, Umno dan PAS telah memutuskan untuk mengelakkan pertembungan kedua-dua parti.

“Kami sudah memutuskan tidak ada pertembungan Umno dan PAS,” katanya.