Pembangkang Sabah dingin tentang kemungkinan sertai piagam muafakat

Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani PAS dan Umno Sabtu lepas bertujuan mempertahankan hak orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

KOTA KINABALU: Parti pembangkang di sini membayangkan sikap dingin berhubung pelawaan gabungan PAS-Umno supaya mereka menyertai Muafakat Nasional yang dilancarkan baru-baru ini.

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) memberikan respons ringkas ketika ditanya sama ada mereka bersedia menimbangkan pelawaan itu.

“Kami sedang kaji perkembangan…selamat maju jaya kepada mereka,” kata presiden PBS Maximus Ongkili dalam satu pesanan pendek.

Maximus Ongkili.

Bagaimanapun presiden SAPP Yong Teck Lee menjawab lebih pendek, “tidak”, apabila ditanya.

Apabila disoal sama ada terdapat sebab tertentu beliau berkata demikian, Yong berkata, “Sangat jelas”, seterusnya menambah, “tak perlu buat andaian dan kami pun tidak perlu memberi komen”, ketika diminta menjelaskan jawapannya itu.

Parti pembangkang lain belum menjawab permintaan FMT bagi mendapatkan komen mereka.

Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani oleh presiden PAS dan Umno Sabtu lepas bertujuan mempertahankan hak orang Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga berikrar untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada “kepimpinan Islam, orang Melayu dan Bumiputera”.

Yong Teck Lee.

Naib presiden Umno Khaled Nordin dilaporkan berkata, Muafakat Nasional tidak terbatas kepada Umno dan PAS, justeru menggesa parti politik di Sabah dan Sarawak serta kumpulan masyarakat sivil supaya menyertai muafakat tersebut.

Ketua Wanita MCA Sabah Pamela Yong berkata, walaupun rakyat harus memberi peluang kepada langkah politik terbaru itu, namun rakyat Sabah juga perlu “berhati-hati terhadapnya”.

Beliau berkata, rakyat Sabah boleh menambah sudut pandang berguna kepada gabungan itu, malah “mungkin ke tahap menetapkan tanda aras dan merapatkan jurang tentang cara untuk mencapai kemuafakatan itu dengan sempurna,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, sikap terbuka rakyat Sabah akan segera berakhir jika gabungan itu melanggar wawasan negara inklusif seperti diperjuangkan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Pamela Yong.

“Jika ia memisahkan masyarakat kita berdasarkan kaum dan agama, maka sudah pasti rakyat Sabah akan menolaknya sama sekali. Polarisasi politik begini memang tidak ada tempat di Sabah,” katanya lagi.

“Perjuangan politik kita akan lebih tertumpu pada politik wilayah seperti memperkukuh kedudukan Sabah dalam persekutuan Malaysia, melindungi kedaulatan negeri, menyelesaikan isu kronik pendatang tanpa izin dan memperkuat kedudukan serta pembangunan ekonomi Sabah.

“Kami tidak ada masa maupun minat untuk terlibat dalam politik kaum dan agama,” katanya lagi.