Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah RM1.9 juta

  Mazlan Lazim menerangkan hasil rampasan dadah jenis syabu kepada media di IP Wangsa Maju hari ini.

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan 2 lelaki disyaki pengedar dadah serta merampas sejumlah bahan terlarang itu bernilai RM1.9 juta dalam satu serbuan Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 33 tahun dan 29 tahun itu berasal dari Terengganu dan ditahan secara berasingan di sebuah pangsapuri dekat Setapak hasil risikan dan maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Katanya, tangkapan pertama ke atas suspek lelaki berumur 33 tahun di kawasan pejalan kaki di pangsapuri yang terletak di Jalan Arena, Setapak dan merampas dadah jenis methamphetamine atau syabu sebanyak 2.05kg.

Tambahnya, hasil soal siasat membawa kepada suspek berumur 29 tahun yang berada seorang diri di pangsapuri tersebut dan polis menjumpai wang tunai sebanyak RM2,080.

“Hasil soal siasat dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, polis telah pergi ke tempat letak kereta residensi tersebut dan membuat pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kelisa warna oren dan menjumpai dadah disyaki jenis syabu seberat 36.08kg,” katanya pada sidang media khas di IPD Dang Wangi hari ini.

Pegawai Penyiasat IPD Wangsa Maju menguruskan hasil rampasan sebelum sidang media bermula

Turut disita sebuah kereta Perodua Kelisa bernilai RM8,000, sebuah kereta Honda Jazz bernilai RM20,000, dan wang tunai sebanyak RM2,080.

“Ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Kedua-duanya ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama 7 hari bermula 13 hingga 19 September ini,” katanya.

Beliau menambah kes sedang disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah sebanyak 38.14kg itu boleh dibekalkan kepada 76,285 penyalahgunaan dadah, katanya.

Polis sedang mengenalpasti pembekal dadah tersebut yang dibekalkan dari Terengganu melalui Thailand.

“Dipercayai kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti dadah ini selama 4 bulan.

“Modus operandi yang mereka gunakan adalah dadah dihantar melalui bas atau kenderaan persendirian yang boleh mengaburi pihak berkuasa,” katanya.