Sarawak gerak semua agensi kerana jerebu semakin teruk

Indeks pencemaran udara di Sri Aman capai bacaan 407 pada 5 petang tadi. (Gambar Bernama)

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan menggerakkan semua agensi berkaitan selepas Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman mencapai bacaan 407 pada 5 petang tadi.

Beliau juga sudah menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyegerakan kerja-kerja pembenihan awan apabila keadaan atmosfera bersesuaian.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengumumkan operasi pembenihan awam di Sarawak ditangguhkan ke Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana keadaan atmosfera tidak bersesuaian.

Uggah berkata beliau sudah mengarahkan bomba Sarawak membantu kerja-kerja pemadaman api di Sri Aman selepas 2 titik panas dikesan.

“Kita tahu ada dua titik panas di Sri Aman berikutan kebakaran belukar namun punca sebenar jerebu yang teruk ini datangnya daripada Kalimantan,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar Sarawak, sebanyak 452 titik panas dikesan di Kalimantan, 243 di Sumatera dan 17 di Sarawak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata sebanyak 304 kes kebakaran dilaporkan antara 1 hingga 17 Sept.

Lapan kebakaran belukar dilaporkan di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Miri dan Limbang hari ini.

Secara purata, bomba Sarawak respon kepada 18 kebakaran belukar setiap hari sejak 1 Sept.

Setakat 8 malam tadi, API di Sri Aman mencapai bacaan 395, 214 di Kuching, 169 di Sibu, 160 di Samarahan dan 157 di Sarikei.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.