Saya tidak mahu perang, kata Trump di sebalik tuduhan ke atas Iran

Donald Trump. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin berkata “seolah-olah” Iran mendalangi serangan terhadap hab minyak di Arab Saudi tetapi menegaskan, beliau tidak mahu berperang, ketika serangan itu menyebabkan harga minyak melonjak dan menimbulkan kebimbangan konflik terbaru di Timur Tengah.

Iran telah menolak dakwaan AS ia mendalangi serangan pada Sabtu yang merosakkan kilang pemprosesan minyak mentah terbesar di dunia dan mencetuskan kenaikan harga minyak mentah yang terbesar dalam beberapa dekad.

Hubungan antara AS dan Iran telah merosot sejak Trump keluar dari perjanjian nuklear tahun lalu dan mengembalikan sekatan terhadap program nuklear dan balistik Tehran.

Washington juga mahu menekan Tehran bagi mengakhiri sokongan pasukan proksi serantau, termasuk di Yaman di mana pasukan Saudi menentang kumpulan Houthis disokong Iran selama empat tahun.

AS masih menyiasat sama ada Iran berada di belakang serangan Saudi, kata Trump, tetapi “ia kelihatan seperti itu pada saat ini.”

Trump, yang telah menghabiskan sebahagian besar masanya selaku presiden untuk mengelak AS daripada peperangan yang diwarisinya, berkata beliau tidak akan tergesa-gesa terlibat dalam konflik baru bagi pihak Arab Saudi.

“Saya seorang yang tidak mahu berperang,” kata Trump.

Beberapa anggota Kabinet AS termasuk Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Setiausaha Tenaga Rick Perry menyalahkan Tehran atas serangan.

Pompeo dan beberapa pemimpin lain akan pergi ke Arab Saudi tidak lama lagi, kata Trump.
Sehari selepas mengatakan AS berada dalam keadaan untuk bertindak balas terhadap kejadian itu, Trump berkata pada Isnin tidak beliau tergesa-gesa untuk berbuat demikian.

“Kami ada banyak pilihan tetapi saya tidak melihat kepada pilihan-pilihan itu sekarang. Kami mahu mencari secara pasti siapa yang melakukan ini,” katanya.

Presiden Iran Hassan Rouhani berkata serangan itu dilakukan oleh “orang Yaman” yang membalas serangan gabungan ketenteraan yang diterajui Saudi dalam perang keatas pergerakan Houthi.