Sekolah ditutup di Selangor kerana jerebu meningkat kepada 145

Keadaan berjerebu di kawasan Cheras, Kuala Lumpur petang semalam. Kesemua sekolah di Putrajaya dan 145 lagi di Selangor ditutup hari ini.

PETALING JAYA: Bilangan sekolah di Selangor yang ditutup ekoran keadaan berjerebu meningkat kepada 145 buah sehingga lewat malam tadi.

Sebanyak 145 buah sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini akibat keadaan jerebu yang semakin serius.

Terdahulu Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam kenyataan dikeluarkan sekitar 9 malam menyebut sebanyak 138 sekolah di daerah-daerah terbabit akan ditutup.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan terbarunya berkata memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan 23 buah sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 buah sekolah di Petaling Perdana.

Seramai 187,928 orang pelajar terlibat dalam penutupan sekolah dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa, kata kenyataan dipetik Bernama.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 11 malam tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Klang (175) dan Banting (167) dan Shah Alam (185).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Selain Selangor, semua sekolah di Putrajaya juga diarah ditutup dan ditangguh tempoh waktu persekolahannya hari ini selepas bacaan IPU melonjak melebihi angka 200 iaitu kualiti udara sangat tidak sihat.