Selepas harimau Malaya, harimau kumbang muncul di Dungun

Seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumah penduduk berdekatan Al Muktafi Billah Shah kira-kira 15km dari Kampung Besul Lama. (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: Jika 2 bulan lepas, rakyat Malaysia digemparkan dengan kemunculan 2 ekor harimau spesies Malaya di Kampung Besul Lama dekat Bukit Besi di Dungun, kini harimau kumbang pula dilihat berlegar-legar tidak jauh dari kawasan yang sama.

Harimau kumbang terbabit ditemui berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah yang terletak kira-kira 15km dari Kampung Besul Lama sejak 2 minggu lepas.

Seorang penduduk, Nur Mazila Mohd Salleh, 37, berkata kejadian terbaru berlaku malam semalam yang mana beliau melihat sendiri seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumahnya, di blok H taman perumahan itu.

“Ini kali ketiga saya melihat haiwan itu dalam tempoh 2 minggu kebelakangan ini, namun ada jiran mendakwa sudah melihat harimau itu berkeliaran sejak sebulan lepas.

“Kami memang hidup dalam ketakutan dan anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain seperti biasa. Kami berharap harimau ini dapat ditangkap secepat mungkin agar kami boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Nur Mazila memuat naik sekeping gambar harimau terbabit di Facebook dengan meminta bantuan untuk mendapatkan nombor telefon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu. Bagaimanapun, status tersebut dipadam sebaik sahaja aduan dibuat kepada Perhilitan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Abdul Malik Mohd Yusuf berkata pihaknya menerima aduan penduduk dan beberapa kakitangan pergi ke lokasi tersebut untuk memasang perangkap.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar terus berhati-hati dan segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan itu untuk memudahkan tindakan dibuat.

Untuk rekod, pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130kg berjaya ditangkap kira-kira pukul 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Haiwan yang dianggarkan berusia 5 tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500m dari jalan utama Kampung Besul Lama.

Bagaimanapun, harimau berkenaan dilaporkan mati pada 23 Julai lalu ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.