Tukang emas Lubnan diperintah deposit RM75,000 dalam saman terhadap Rosmah

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang tukang emas Lubnan mendepositkan RM75,000 sebagai jaminan kos susulan permohonan daripada isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

Peguam Global Royalty Trading SAL, David Gurupatham berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin menetapkan jumlah itu di kamarnya selepas mendengar penghujahan.

Rosmah pada 19 Ogos lepas memohon syarikat itu mendepositkan RM500,000 memandangkan ia plaintif yang berada di negara lain.

Syarikat barang kemas itu menyaman Rosmah pada 26 Jun tahun lepas bagi mendapatkan 44 barang kemas yang didakwa dihantar kepadanya untuk dipilih, atau bayaran sebanyak AS$14.79 juta (kira-kira RM60 juta) untuk barang-barang itu.

Gurupatham berkata jumlah deposit yang dimohon Rosmah itu tidak masuk akal dan untuk menahan prosiding.

“Saya timbulkan isu bahawa defendan cuba melengah-lengahkan perbicaran kerana dia diarah untuk memeriksa barang kemas itu 13 bulan lepas,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata Wong juga mengarahkan syarikat itu membuat deposit di mahkamah menjelang 11 Okt.

Sementara itu, peguam Rosmah, Rajivan Nambiar berkata Wong membenarkan permohonan anak guamnya yang memohon mahkamah melantik seorang pakar untuk mengenal pasti dan menentusahkan 4 daripada 44 barang kemas dalam simpanan kerajaan susulan satu perampasan.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada keizinan Bank Negara Malaysia (BNM),” tambahnya.

“Bank pusat itu bimbang tentang ancaman keselamatan kerana barang kemas itu disimpan dalam satu bilik kebal.

“Sekiranya BNM izinkan, kami akan pergi dan periksa barang kemas itu,” katanya.

Global Royalty dalam samannya mendakwa pada 10 Feb 2018, ia menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, subang, cincin, gelang tangan dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta), kepada Rosmah menerusi penghantar dan 2 ejennya.

Syarikat itu berkata Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma dan syarat-syaratnya.

Ia juga mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei 2018, mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi barang-barang itu tiada lagi dalam simpanannya kerana sudah dirampas pihak berkuasa.

Global Royalty mahu mahkamah mengisytiharkan ia pemilik barang kemas dan pemilikan barang-barang itu tidak dipindahkan kepada Rosmah.

Ia juga mahu mendapatkan satu perintah mandatori memerintahkan Rosmah menyediakan satu senarai barang kemas yang dirampas supaya ia boleh dipulangkan atau Rosmah membayar AS$14.79 juta untuk barang kemas itu.