Anwar boleh rapatkan Semenanjung dan Malaysia Timur, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata, kepimpinan Anwar Ibrahim dalam PKR serta penyatuan parti itu, PAS dan DAP di bawah pakatan yang dibubarkan kini ialah bukti kepintarannya dalam politik.

PETALING JAYA: Penganalisis politik menyifatkan sokongan sebuah badan bukan kerajaan Sabah kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-8 menunjukkan beliau mampu meningkatkan permuafakatan antara negeri-negeri di Semenanjung dan Malaysia Timur apabila mengambil alih jawatan nombor satu kelak.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya memberitahu FMT, rakyat di Sabah dan Sarawak dilihat mempunyai keyakinan terhadap kemampuan Anwar untuk menyelesaikan isu tuntutan terhadap Perjanjian Malaysia 1963, manakala Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia menyentuh rekod Anwar menyatukan rakyat berbilang bangsa dan aliran politik.

Mereka mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo), Pandikar Amin Mulia di Kota Belud semalam yang memuji Anwar sebagai pejuang kesaksamaan antara Semenanjung dan Malaysia Timur manakala penasihatnya, Salleh Said Keruak dilaporkan berkata, Anwar berada “di landasan betul untuk menyelamatkan Malaysia”.

Azman berkata, kenyataan 2 pemimpin itu menunjukkan mereka percaya Anwar, sebagai perdana menteri, boleh membawa perubahan positif dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Katanya, 2 pemimpin Usbo itu bukan satu-satunya orang yang berfikir demikian.

“Banyak analisis dan kajian menunjukkan keyakinan dalam kemampuan Anwar untuk menyatukan negara ini,” katanya tanpa memetik mana-mana kajian.

Azmi merujuk kepimpinan Anwar dalam PKR sebagai bukti kemampuannya menyatukan rakyat berbilang kaum serta penyatuan partinya, PAS dan DAP di bawah pakatan yang dibubarkan kini sebagai bukti kepintarannya dalam politik.

“Dengan kedua-dua negeri Borneo yang merasa terasing dari Semenanjung, saya fikir pendapat Pandikar munasabah,” katanya merujuk kenyataan presiden Usbo yang melihat Anwar sebagai “samurai terakhir” untuk mempertahankan kesaksamaan antara Semenanjung dan 2 negeri itu.

Beliau berkata, ia adalah idea baik untuk Anwar memulakan perikatan rasmi antara Usbo dan PKR atau Pakatan Harapan.

Tetapi, Azman tidak bersetuju kerana adalah penting untuk Anwar, presiden PKR, mengekalkan integriti politiknya.

“Pandikar dan Salleh boleh minta maaf kepada Anwar kerana menjadi pengkritik lantang Anwar sebelum ini dan Anwar boleh memaafkan mereka.

“Tetapi, itu bukan lesen untuk mereka minta menyertai PKR atau PH.”

Beliau yakin dengan kemampuan Anwar menangani PAS dan Umno kerana pengaruhnya dalam akar umbi kedua-dua parti.

“Daya tarikan karismanya bukan hanya orang Melayu atau Bumiputera lain, tetapi juga komuniti Cina dan India.”