Anwar mahu kaji semula garis kemiskinan Malaysia

Anwar Ibrahim berkata, beliau segera mengadakan mesyuarat dengan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuainya di Parlimen bagi membincangkan laporan hak asasi manusia PBB mengenai kadar kemiskinan di Malaysia.

KOTA KINABALU: Anwar Ibrahim bersetuju dengan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertikaikan garis kemiskinan rasmi tidak realistik di Malaysia.

Presiden PKR itu berkata, kemiskinan ialah isu umum dan masalah ketara di mana-mana saja dalam negara ini.

“Tiada kampung atau estet di Malaysia yang tiada orang miskin. Setiap minggu, saya balik ke Port Dickson dan saya pilih dua hingga tiga isi rumah miskin untuk bantu. Anda juga boleh ke Penampang atau Tenom (di Sabah)…ia ada di sana.

“Jadi (Pelapor Khas Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip) Alston adalah betul,” katanya dalam dialog dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah di sini, malam tadi.

Beliau menjawab soalan seorang pelajar yang mempertikaikan kadar kemiskinan 0.4% di Malaysia dan bertegas kadar sebenar sepatutnya antara 15% hingga 20%. Beliau juga ingin tahu jika kerajaan akan menilai semula kadar itu.

Pada 23 Ogos lalu, Alston dilaporkan berkata, dakwaan Malaysia yang kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar tidak menggambarkan keadaan sebenar dan mengecualikan penduduk mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Katanya, garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan untuk 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari terlalu rendah kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

Alston pernah menemui keluarga yang tidak mampu membayar sewa, menghantar anak ke sekolah atau mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak dapat menanggung kos pengangkutan.

Anwar berkata, beliau segera mengadakan mesyuarat dengan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuainya di Parlimen bagi membincangkan laporan hak asasi manusia PBB itu.

Katanya, pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundram turut memberitahu beliau, mereka tidak sepatutnya membincangkan kumpulan B40, tetapi B70 yang dikatakan kategori paling miskin.

Beliau berkata, itu sebabnya beliau mahu kerajaan mengkaji semula garis kemiskinan.

“Dianogsis itu perlu tepat untuk mencari penyelesaian betul. Anda tidak boleh menghidap penyakit jantung, tetapi kaki anda yang dipotong.”

Bagaimanapun, katanya, beliau bukannya bersetuju dengan semua pandangan Alston kerana pakar ekonomi dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menyelar laporan itu.

“Tetapi, paling penting ialah ukuran garis kemiskinan tidak realistik.

“Ia tidak bermakna kerajaan tidak berbuat apa-apa mengenainya. Kerajaan Barisan Nasional turut membuat sesuatu…kita tidak menafikannya, tetapi kelemahannya besar.”

Anwar berkata, negara membelanjakan RM26 bilion hingga RM28 bilion setahun untuk memberi subsidi kepada golongan miskin di Malaysia.

“Itu jumlah yang besar, tetapi apa yang berlaku? Ada ketirisan dan ejen di kampung yang bukannya nelayan mendapat dana itu.

“Kenapa? Kerana dia ialah ketua cawangan Umno atau sebagainya. Perkara ini tidak boleh diteruskan. Wang perlu sampai kepada kumpulan sasar.

“Dana itu lebih daripada cukup tetapi persoalannya ialah pelaksanaannya; tidak patut ada ketirisan dan rasuah.”

Perjanjian Malaysia 1963

Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapati kerajaan Pakatan Harapan mencapai kemajuan lebih baik daripada kerajaan terdahulu berkaitan janji di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sudah mengumumkan perkara penting dalam ucapan Hari Malaysia di Kuching dua hari lalu dengan berkata, pembentukan Malaysia membabitkan Malaya, Sabah dan Sarawak.

“Perjanjian itu bukan antara negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, tetapi persekutuan negeri dengan Sabah dan Sarawak.

“Inilah MA63. Perjanjian itu menggariskan beberapa perkara, dengan ada di antaranya sudah dilaksanakan dan ada yang belum.”

Katanya, jawatankuasa peringkat tinggi untuk membincangkan kajian semula dan pelaksanaan MA63 hanya ditubuhkan kerajaan hampir 60 tahun selepas pembentukan Malaysia.

“Perdana menteri menubuhkan jawatan ini yang membabitkan ketua menteri Sabah dan Sarawak…ini ialah kemajuan besar.

“Selama ini, walaupun perdana menteri berubah, tiada jawatankuasa seperti ini (ditubuhkan).

“Saya rasa rakyat Sabah dan Sarawak patut mengalu-alukan langkah ini sebagai permulaan untuk menjadikan kita sebuah keluarga besar.”