Biar polis pantau pelajar Islam, PM Thai beritahu universiti

Prayuth Chan-ocha. (Gambar Reuters)

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand hari ini mempertahankan polis menyoal pelajar-pelajar Islam di universiti seluruh negara, susulan kritikan terhadap langkah itu yang disifatkan sebagai diskriminasi dan tidak sah.

Prayuth Chan-ocha berkata permintaan polis itu perlu untuk membina suatu pangkalan data keselamatan nasional, susulan siri letupan bom di Bangkok pada Ogos yang dipersalahkan ke atas suspek beragama Islam.

Surat rasmi daripada polis, yang dikongsi atas talian oleh bekas pesuruhjaya hak asasi manusia Angkhana Neelapaijit, meminta sebuah universiti menyediakan maklumat mengenai jumlah, tempat asal, taifah dan butiran lain mengenai kumpulan pelajar Islam.

Nama universiti itu ditutup.

“Ini satu campurtangan ke atas hak peribadi dan diskriminasi berasaskan agama,” kata Angkhana.

Beliau menambah kebebasan agama dan hak kebersendirian dijamin oleh perlembagaan Thailand.

Kira-kira 90% warga Thai menganut ajaran Buddha, walaupun Islam merupakan majoriti di 3 wilayah di selatan negara itu yang bersempadan dengan Malaysia.

Prayuth berkata langkah itu adalah perlu.

“Polis sudah menyatakan langkah ini bagi menghasilkan suatu pangkalan data perisikan,” kata Prayuth. “Tiada hak dilanggar. Kita tak boleh uruskan apa-apa tanpa data.”

Pelajar Islam berkata permintaan polis itu suatu diskriminasi.

“Kami mahu polis pertimbangkan semula perkara ini, universiti adalah ruang di mana pelajar boleh menyuarakan pandangan secara bebas dan hak mereka dilindungi,” kata Ashraf Awae, presiden Persekutuan Pelajar-pelajar Islam Thailand.

Sumber polis memberitahu permintaan untuk mendapatkan maklumat orang-orang Islam itu berkaitan dengan serangan pada2 Ogos yang mencederakan empat orang apabila enam bom kecil dan enam peranti pembakar meletup di Bangkok, yang sedang menganjurkan suatu mesyuarat antarabangsa.

Tiga orang ditahan dan 11 lain yang dikehendaki pihak berkuasa masih bebas. Semua suspek berketurunan Melayu dan beragama Islam dari selatan Thailand.

“Kami risau mengenai orang-orang berniat jahat yang menyusupi pelajar-pelajar universiti,” kata Prayuth.

Surat yang sama dihantar kepada banyak institusi pengajian Thailand, sebahagian daripada rutin mengemaskini pangkalan data perisikan, kata polis dalam kenyataan.

Beberapa universiti dengan jumlah pelajar Islam yang ramai terganggu dengan surat itu.

Wuthisak Lapcharoensap, presiden Universiti Ramkhamhaeng di Bangkok berkata polis harus pertimbang semula permintaannya.

“Saya tak terima surat tetapi jika diterima, saya tidak akan dapat patuhinya,” kata Wuthisak.