Bukan Islam tiada masalah kami kerjasama dengan PAS, kata Umno Sabah

KOTA KINABALU: Umno Sabah yakin pemeteraian piagam kerjasama politik dengan PAS akan memanfaatkan negeri itu, tetapi ia tidak patut dilihat dari aspek agama.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Raime Unggi berkata kerjasama itu adalah cara untuk menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Beliau yakin kerjasama dengan PAS tidak akan dipandang negatif oleh orang bukan Islam di Sabah.

“Saya akui ada sesetengah pihak yang tidak gembira dengan kerjasama ini. Mereka kata ia akan merosakkan hubungan baik orang Islam dan bukan Islam.

“Tetapi, daripada maklum balas yang saya terima, khasnya daripada ahli Umno Sabah, malah ahli bukan Islam gembira dengan perikatan ini,” katanya kepada wartawan hari ini.

Raime berkata, DAP “satu-satunya pihak yang tidak gembira” dengan kerjasama itu.

Beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan membelakangkan manifesto pilihan rayanya dan berkata, rakyat merasakan keadaan sekarang lebih teruk berbanding zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Realitinya ialah dasar yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri gagal membantu rakyat.

“Saya jumpa ramai orang yang mengadu kepada saya mengenai bagaimana teruknya keadaan ekonomi mereka sekarang dan bagaimana pemilik perniagaan terpaksa tutup kedai.”

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan persidangan Umno Sabah pada Sabtu ini dengan ketua negeri, Bung Moktar Radin akan menyampaikan ucaptamanya.

Seramai 525 perwakilan dari 25 bahagian akan menghadiri persidangan itu.