Bukit Aman soal bekas duta mengenai kolum FMT tentang Zakir Naik

Dennis Ignatius diluar Bukit Aman selepas disoal selama 2 jam berhubung artikel mengenai Zakir Naik.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman hari ini menyoal bekas duta Dennis Ignatius selama 2 jam berhubung penulisannya yang disiarkan FMT bulan lepas mengenai pengaruh penceramah dari India, Dr Zakir Naik dalam lanskap politik negara.

Ignatius mempertahankan artikel “Why empower a demagogue like Zakir Naik?” yang disiarkan di kolumnnya pada 13 Ogos itu, mengatakan ia ditulis dengan niat yang baik sebagai seorang warganegara yang prihatin.

Antara soalan yang ditanya polis adalah mengenai sumber-sumbernya, katanya.

“Saya beri kepada mereka 28 halaman mengandungi kenyataan dan artikel akhbar dari Kanada, India, Bangladesh dan beberapa lagi negara yang menggambarkan jenis orangnya (Naik) dan ancaman yang ditimbulkannya kepada mereka,” kata Ignatius.

Bekas pesuruhjaya tinggi ke Kanada ini, yang bersara selepas 36 tahun berkhidmat, berkata demikian kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Beliau ditemani peguamnya, Kenny Ng Bee Ken.

Ignatius juga merujuk kepada kenyataan-kenyataan mengenai Naik oleh pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ignatius disoal dalam siasatan ke atas laporan polis yang dibuat Naik mendakwa dia difitnah.

Diplomat veteran itu sering mengkritik ahli politik pemerintah dan pembangkang.

Semalam, dia menggambarkan keadaan sekarang sebagai ironik kerana dia pertama kali disoal kerana pandangannya, walaupun Malaysia Baru menjanjikan kebebasan yang lebih luas.

“Bagi saya, apa yang pada saya menghairankan, sepanjang 10 tahun saya menulis, saya tidak pernah dipanggil polis untuk diambil keterangan.

“Walaupun di zaman ‘gelap’ Najib Razak, saya tak pernah dipanggil dan saya terkejut. Saya fikir keadaan ini ironik kerana di era Malaysia Baru saya dipanggil polis berhubung laporan yang dibuat oleh seorang individu yang dikehendaki,” katanya.

Ignatius antara 5 individu yang dipanggil polis berhubung kenyataan yang kritis terhadap penceramah kontroversi itu.

Naik juga menamakan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dalam laporannya.

Naik mendakwa mereka membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

Naik, seorang pemastautin tetap, mengundang kemarahan orang ramai susulan kenyataan mendakwa penganut Hindu tempatan lebih setia kepada Modi berbanding Mahathir dan kaum Cina tempatan “tetamu lama”.

Naik memohon maaf terhadap salah faham yang timbul tetapi mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.

Beliau juga disoal polis selama beberapa hari bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.