Buku Rahmatan Alamin diterjemah bahasa lain elak salah faham, kata MAIWP

Pengerusi MAIWP, Syed Hussien Alhabshee (kanan) melancarkan buku ‘Rahmatan Lil Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari’ di Universiti Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh (tengah). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Buku Rahmatan Lil Alamin (rahmat untuk seluruh alam) akan diterbitkan dalam pelbagai bahasa untuk menepis salah faham kaum lain terhadap gagasan itu, kata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusi MAIWP, Syed Hussien Alhabshee berkata buku itu akan diterjemah dalam bahasa Cina, Tamil dan Inggeris supaya ia mudah difahami rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Usaha ini penting agar idea yang disebar jelas tentang konsep ini dapat disampaikan dalam pelbagai bahasa, sesuai dengan kehadiran pelbagai latar belakang budaya dan bahasa dalam masyarakat kita, malah di persada antarabangsa juga.

“Usaha perlu digerakkan untuk memahamkan semua pihak tentang makna dan ciri sebenar konsep ini,” katanya selepas melancarkan buku “Rahmatan Lil Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari” di Universiti Islam Antarabangsa hari ini.

Syed Hussien berkata, buku terjemahan Rahmatan Lil Alamin itu akan diterbitkan awal tahun depan.

“Kita juga akan edar di pusat pengajian, termasuk di universiti seluruh negara dan masyarakat negara lain juga boleh memilikinya.”

Sementara itu, Syed Hussien berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Cambridge di United Kingdom pada November ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tajuk atau skop syarahan umum itu.