Hampir 20,000 rekod perubatan warga Malaysia bocor, kata laporan

PETALING JAYA: Sebuah syarikat keselamatan Jerman menunjukkan ada kebocoran data melibatkan jutaan rekod perubatan yang boleh didapati dalam talian, termasuk hampir 20,000 rekod perubatan milik warga Malaysia.

Siasatan Greenbone Network, yang disiarkan pada 16 Sept, mengenalpasti 19,922 rekod data pesakit boleh diakses di tiga sistem arkib, bersama 1.2 juta imej-imej berkaitan.

Antara data peribadi yang dikenalpasti dalam kebocoran data itu adalah nama penuh pesakit, tarikh lahir dan tarikh pemeriksaan perubatan, dan juga imej-imej x-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT) dan imbasan resonans magnetik (MRI).

“Jumlah kebocoran data tidak dilindungi milik pesakit yang tersedia di internet ini salah satu masalah data terbesar di seluruh dunia sehingga kini,” kata laporan Greenbone.

Greenbone memberi amaran individu yang dinamakan dalam kebocoran itu terdedah kepada pihak yang boleh menyalahgunakan maklumat peribadi itu untuk mengancam reputasi dan mencuri identiti.

Menurut laporan Greenbone, masalah itu dikenalpasti di 52 negara termasuk China, Australia, Jepun, United Kingdom, Rusia, Perancis, Amerika Syarikat, dan Brazil.

Amerika Syarikat berada teratas dengan 13.7 juta set data dan 45.8 juta imej dikenalpasti dalam kebocoran itu.

Sementara di United Kingdom pula, terdapat 1,500 rekod data pesakit dan 5,000 imej bocor.

FMT sedang mendapatkan komen Kementerian Kesihatan.