Jadual penerbangan di Pulau Pinang terjejas akibat jerebu

Pemandangan di Jambatan Pulau Pinang pada pagi tadi. Pulau Pinang juga berhadapan dengan keadaan berjerebu yang teruk.

GEORGE TOWN: Jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) terjejas akibat jarak penglihatan terhad disebabkan jerebu yang melanda banyak kawasan hari ini.

Pengurus Kanan PIA, Mohd Nadzim Hashim berkata pesawat Silk Air penerbangan MI 346 dari Singapura ke Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan.

Katanya, sebuah pesawat kargo UPS Airline yang dijadualkan berlepas dari Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan satu penerbangan Lion Air dari Medan ke Pulau Pinang turut terjejas.

Sebuah pesawat kargo FedEx dari Pulau Pinang ke Bangkok juga terpaksa ditunda.

“Jarak penglihatan dari menara kawalan PIA berkurangan daripada lebih 10km pada hari biasa kepada 1.5km,” kata Nadzim ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, jarak penglihatan di kedua-dua landasan PIA di tahap 1,700m.

Balik Pulau ialah daerah pertama di Pulau Pinang yang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap sangat tidak sihat 200 pada 7 pagi tadi. Ia disusuli Gelugor dengan bacaan IPU 203 pada 10 pagi tadi.

Bacaan IPU di pulau di sekitar 205 hingga 225 setakat 11 pagi tadi, manakala bacaan di Seberang Perai antara 156 dan 163.

Bacaan IPU 0-50 menandakan kualiti udara sihat, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 berbahaya.