Jerebu berterusan, Selangor arah semua sekolah ditutup

PETALING JAYA: Semua sekolah awam dan swasta seluruh Selangor ditutup susulan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor dalam kenyataan berkata semua sekolah ditutup sehingga Jumaat, selepas Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan keadan berjerebu akan berterusan sehingga minggu depan.

MetMalaysia dalam kenyataan 17 September lalu berkata semua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung,” kata kerajaan negeri.

Indeks Pencemaran Udara setakat 6 petang tadi menunjukkan Kuala Selangor mencapai bacaan 192, Petaling Jaya 207, Shah Alam 216, Klang 198, dan Banting 180.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.