Kabinet dijangka bincang jerebu pagi ini, Putrajaya antara 8 kawasan sangat tidak sihat

Paras bacaan IPU di Semenanjung menunjukkan kawasan-kawasan yang terjejas akibat jerebu.

PETALING JAYA: Lapan kawasan termasuk Putrajaya mencatatkan kualiti udara tidak sihat susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200 setakat jam 7 pagi ini sementara mesyuarat mingguan Kabinet hari ini dijangka membincangkan isu jerebu semakin teruk.

Selain Putrajaya tujuh kawasan lain adalah Petaling Jaya, Shah Alam, Johan Setia dan Klang di Selangor; Nilai di Negeri Sembilan; Balik Pulau di Pulau Pinang serta Sri Aman Sarawak.

Menurut bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya mencatat bacaan 202 Balik Pulau (204), Petaling Jaya (202), Alam (219), Johan Setia (253) dan Klang (202), Nilai (211), Balik Pulau (204) dan Sri Aman (244).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Banyak sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya, Perak dan Sawarak ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Semalam, IPU Sri Aman, Sarawak meningkat dengan bacaan di tahap berbahaya menghampiri 400 setakat pukul 6.00 petang iaitu meningkat kepada 389 berbanding 300 yang dicatatkan 4 jam sebelum itu.
Selaras dengan itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pengisytiharaan darurat sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara di Sri Aman melebihi 500.
Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dibuat di Sarawak pada atau selepas 19 Sept tertakluk kepada keadaan atmosfera, cuaca dan awan, kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
NADMA dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain serta Darurat Bencana Jerebu hanya dibuat apabila bacaan IPU melebihi 500.
Sementara itu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata perbincangan dan penyelesaian mengenai masalah jerebu merentasi sempadan yang melanda negara akan dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Ditemui di ibu negara semalam, beliau berkata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin juga dijangka membentangkan hasil laporan terkini mengenai keadaan jerebu sekarang ini.
Saifuddin berkata Wisma Putra juga telah berhubung secara rasmi dengan kerajaan Indonesia mengenai fenomena jerebu sekarang. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tentang perbincangan dengan kerajaan Indonesia itu.