Kami minta ekstradisi Zakir Naik, tegas India

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

PETALING JAYA: Kerajaan India menolak dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa tiada permintaan ekstradisi dibuat terhadap penceramah kontroversi Dr Zakir Naik ketika perdana menteri itu bertemu dengan rakan sejawatannya, Narendra Modi di Rusia awal bulan ini.

Menteri Luar Negeri, S Jaishankar berkata isu itu dibangkitkan semasa pertemuan Mahathir dengan Modi di Vladivostok pada 5 September.

Dalam laporan The Indian Express, beliau juga berkata India meminta ekstradisi Naik dari Malaysia pada Januari.

“Kami mahu dia kembali, dan itulah yang kami sedang usahakan,” Jaishankar dipetik sebagai berkata.

Naik yang dikehendaki di India untuk disoal siasat, diberikan status penduduk tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Beliau mencetus kemarahan baru-baru ini selepas mengkritik masyarakat India dan Cina di Malaysia, dan dilarang oleh polis daripada berceramah di khalayak umum.

Beliau kemudiannya meminta maaf atas salah faham yang timbul, tetapi mendakwa kenyataannya itu dipetik diluar konteks.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM semalam, Mahathir berkata Modi tidak meminta untuk Naik dihantar pulang semasa bertemuan mereka.

Beliau juga berkata tidak banyak negara mahu menerima Naik, sambil menambah kerajaan sebelum ini yang membenarkan Naik tinggal di Malaysia dengan memberikan status penduduk tetap.

“Kita juga sedang cuba mencari tempat bagi beliau pergi. Setakat ini tidak banyak negara mahu menerimanya,” tambahnya.